‘Pengakhiran satu era’ – Ariana Grande tutup tirai jelajah di London

Facebook
WhatsApp
ARIANA Grande menghiburkan peminat pada konsert terakhirnya di O2 Arena, London, sebelum berehat daripada kerjaya seni. Foto Agensi

LONDON, United Kingdom: Persembahan terakhir Ariana Grande di London semalam sebelum berehat daripada kerjaya seni disifatkan peminat sebagai detik penuh emosi, selain mengecam komen “toksik” mengenai susuk tubuh penyanyi itu yang semakin kurus sejak Julai.

Sebahagian peminat menjangkakan detik penuh emosi pada konsert terakhirnya di O2 Arena, London selepas pasukannya memaklumkan bahawa penyanyi itu mahu “berehat seketika” susulan kebimbangan terhadap susuk tubuhnya yang sangat kurus.

“Ia bercampur baur. Saya sedih tetapi saya rasa bagus untuk dia berehat kerana dia sudah terlalu sibuk,” kata Kane, 27, seorang penghibur dari Skegness di timur laut England yang turut menghadiri konsert malam sebelumnya.

“Kami sudah cukup menangis untuk semua orang dalam dewan malam tadi, jadi malam ini pasti menjadi sesuatu yang istimewa,” kata adik perempuannya, Heather, 30, seorang penghibur profesional yang membuat persembahan sebagai peniru Taylor Swift.

“Bagi saya, ini pengakhiran satu era dan saya rasa begitu juga bagi kebanyakan peminat kerana kami sudah menantikan acara ini hampir setahun,” kata Jadey, 21, ejen pelancongan dari Belanda.

Grande akan melengkapkan residensi selama 10 malam di arena berkenaan sebagai penutup jelajah “Eternal Sunshine” yang bermula pada Jun di Amerika Syarikat.

Penyanyi dan pelakon berusia 33 tahun yang membintangi filem “Wicked” itu sememangnya bertubuh langsing dan kecil, namun video muzik bagi lagunya, “Petal”, yang dikeluarkan pada Julai menunjukkan penurunan berat badan yang ketara sehingga tulang tubuhnya kelihatan, menyebabkan peminat melontarkan komen kebimbangan.

Beberapa hari kemudian, wakil Grande mengumumkan bahawa beliau akan berehat daripada kehidupan awam selepas tamat jelajah berkenaan.

Wakil Grande memberitahu majalah People bahawa penyanyi yang memenangi Anugerah Grammy itu mahu “mengundurkan diri daripada perhatian umum” kerana penampilannya yang kerap menyebabkan beliau berdepan “pemerhatian awam yang berterusan tanpa penghujung”.

Penerbit turut mengumumkan bahawa Grande menarik diri daripada penampilan sulungnya di West End London dalam muzikal karya Stephen Sondheim, “Sunday in the Park with George”.

TUTUP TIRAI… Ariana Grande mengakhiri persembahan terakhir jelajahnya di O2 Arena, London. Foto Agensi

Penyanyi itu menyifatkan keputusan berkenaan sebagai sesuatu yang “telah difikirkan dengan teliti dan dibuat dengan penuh keyakinan”.

Jelajah berkenaan mendapat pujian pengkritik dengan BBC menyifatkannya sebagai “persembahan yang hebat”, namun akhbar Guardian menulis bahawa mustahil untuk menyaksikan susuk tubuh penyanyi berusia 33 tahun itu di pentas tanpa berasa benar-benar bimbang terhadap keadaannya.

Bagaimanapun, Grande menyifatkan komen mengenai bentuk tubuh sebagai “amat berbahaya”.

Peminat toksik

Penonton konsert mempertahankan privasi Grande sambil berkata kebimbangan terhadap keadaannya adalah sesuatu yang normal, selain menyentuh mengenai “peminat toksik” yang meninggalkan komen di media sosialnya.

“Saya rasa itu urusan dia. Pada pendapat saya, anda berhak untuk berasa bimbang,” kata Kane.

“Saya rasa tidak wajar bagi orang yang tidak tahu apa yang sedang dilaluinya untuk bercakap mengenainya di internet,” kata Emily, 19, dari Vienna yang bekerja dalam bidang kecergasan.

Andrea, 15, dari Itali, berkata terdapat “peminat toksik yang saya lihat dalam komen di Reels Instagram” yang “mengatakan perkara buruk mengenai dirinya” dan “tubuhnya kerana dia kurus”.

“Bagi saya, dia baik-baik sahaja dan dia cantik begitu,” kata pelajar itu.

Grande memulakan kerjayanya sebagai remaja di Broadway sebelum menceburi bidang muzik pop dan meraih kejayaan besar.

Pada 2017, beliau mengadakan persembahan di Manchester Arena di barat laut England apabila seorang ekstremis Islam meletupkan bom bunuh diri, mengorbankan 22 mangsa termasuk tujuh kanak-kanak.

Beliau kembali ke Manchester untuk menjadi artis utama dalam konsert amal bagi mangsa serangan berkenaan.

Lakonannya sebagai Glinda dalam adaptasi filem “Wicked” melayakkan beliau menerima pencalonan Oscar pada 2025 bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Beliau juga dijadualkan membintangi filem komedi “Focker-in-Law” bersama Ben Stiller dan Robert De Niro yang akan ditayangkan di pawagam pada November. – AFP

Konsert Karnival SibuJaya 2026 ditunda

SIBU: Konsert Karnival SibuJaya 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 5 September ini ditunda berikutan keadaan jerebu rentas sempadan yang semakin

RCI TH: Bekas Menteri direman lima hari

PUTRAJAYA: Seorang bekas menteri direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung isu pajakan hotel berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), di Arab