
MUNICH: Sebuah pesawat Air France dari Paris ke Seoul terpaksa dilencongkan ke Munich semalam selepas bau terbakar dikesan di bahagian kokpit, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik kenyataan syarikat penerbangan itu.
Pesawat itu mendarat di Munich pada awal petang, menurut pihak lapangan terbang.
Kru memilih untuk mendarat sebagai langkah berjaga-jaga, kata syarikat penerbangan itu sambil memaklumkan bahawa punca bau terbakar berkenaan masih belum dikenal pasti.
Jurucakap lapangan terbang berkata pesawat berkenaan telah ditunda keluar selepas mendarat.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan penumpang, yang kemudiannya dibawa ke terminal dan diberikan bantuan oleh kakitangan terminal serta pekerja syarikat penerbangan.
Menurut Air France, penerbangan pulang ke Paris dirancang pada lewat petang dan penginapan akan disediakan untuk para penumpang sekiranya diperlukan.
Syarikat penerbangan itu bagaimanapun masih belum memaklumkan penerbangan pengganti ke Seoul.
-BERNAMA-dpa