Penerbangan di Lapangan Terbang Catania, Sicily pulih selepas letusan Gunung Etna

Facebook
WhatsApp
KEADAAN Lapangan Terbang Catania di Sicily selepas operasi penerbangan kembali pulih susulan gangguan akibat letusan Gunung Etna. Foto Agensi

ROM: Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Catania, Sicily sebahagian besarnya kembali seperti biasa selepas mengalami gangguan ketara akibat letusan Gunung Etna, dengan hanya beberapa pembatalan disenaraikan di laman sesawang lapangan terbang itu pada pagi tadi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kebanyakan penerbangan ketibaan dan pelepasan beroperasi mengikut jadual, manakala perkhidmatan penjejakan penerbangan Flightradar24 turut menunjukkan penerbangan kembali beroperasi di lapangan terbang itu.

Pengendali lapangan terbang SAC menyambung semula operasi semalam selepas tahap amaran aktiviti gunung berapi diturunkan daripada merah kepada jingga. Operasi pada mulanya mengambil masa untuk kembali seperti biasa.

Sejak letusan bermula lebih seminggu lepas, ratusan penerbangan dibatalkan, ditangguhkan atau dilencongkan. SAC memaklumkan kira-kira 36 peratus daripada penerbangan yang dijadualkan di Catania antara 6 hingga 12 Ogos dibatalkan, sambil menyifatkan kesannya terhadap infrastruktur lapangan terbang sebagai yang terburuk dalam tempoh 20 tahun.

Gunung Etna, gunung berapi paling aktif di Eropah, kerap meletus. Namun, pelepasan abu yang berpanjangan disertai angin selatan berterusan yang membawa abu secara langsung ke kawasan lapangan terbang menyebabkan kejadian kali ini mengakibatkan gangguan luar biasa terhadap trafik udara, kata Mario Mattia dari Institut Geofizik dan Vulkanologi Kebangsaan (INGV). – Bernama