
JAKARTA: Yu Ganges atau nama saintifiknya “Glyphis gangeticus“, antara spesies yu air tawar paling jarang ditemukan di dunia dan sangat terancam, dijumpai di wilayah Kalimantan Utara, Indonesia, sekali gus meningkatkan harapan terhadap usaha pemuliharaan global.
Penemuannya di Sungai Sesayap di Kabupaten Tana Tidung diumumkan pasukan penyelidik dari Universiti Hasanuddin, James Cook University dan Universitas Borneo Tarakan susulan kajian bersama yang dijalankan di kawasan berkenaan.
Wakil Universiti Hasanuddin Prof Rohani Ambo Rappe menyifatkan penemuan itu sebagai penting bukan sahaja bagi pemuliharaan spesies, malah untuk memperkukuh usaha pemuliharaan secara bersama yang melibatkan komuniti tempatan.
“Penemuan ini bukan sahaja mengenai usaha menyelamatkan satu spesies yang jarang ditemukan, tetapi juga tentang bagaimana kita membina model pemuliharaan yang adil, bersifat kerjasama dan boleh diterima masyarakat,” katanya menurut Agensi Berita ANTARA hari ini.
Menurut Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), spesies itu dianggap antara yu paling jarang ditemukan di dunia dan boleh mencapai sehingga kira-kira 1.8 meter panjang.
Rohani berkata 43 spesimen direkodkan dalam tempoh kurang tiga minggu ketika tinjauan lapangan, menjadikan sungai itu antara habitat paling penting yang diketahui bagi spesies berkenaan di peringkat global.
Beliau juga berkata IUCN mengklasifikasikan yu Ganges sebagai ‘Sangat Terancam’, dengan kurang daripada 10 penemuan direkodkan di seluruh taburan sejarahnya dari Pakistan hingga Myanmar sejak 2000.
Beliau menjelaskan kerjasama antara Universiti Hasanuddin dan James Cook University yang bermula pada 2022 memberi tumpuan bukan sahaja kepada pengumpulan data saintifik, tetapi juga kepada pembangunan pendekatan pemuliharaan mampan yang melibatkan komuniti sebagai sebahagian daripada penyelesaian.
Sementara itu, penyelidik James Cook University, Michael Grant berkata Sungai Sesayap diiktiraf sebagai Kawasan Penting Yu dan Pari (ISRA) pada 2024, sekali gus menekankan kepentingannya sebagai kawasan pembiakan bagi spesies yu sungai yang sangat jarang ditemukan itu.
Penyelidik turut menggesa penubuhan konsortium penyelidikan yu dan pari di Kalimantan bagi memperkukuh data saintifik serta menyokong pembangunan dasar pemuliharaan. – Bernama