RIYADH: Penduduk beragama Islam di seluruh Arab Saudi melakukan solat sunat Istisqa semalam berikutan musim kemarau dan kekurangan hujan yang melanda negara ini.
Lapor AFP , di Mekah, solat sunat itu dilakukan di Masjidilharam dan dihadiri Penasihat kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Putera Khaled al-Faisal.
Solat itu juga diadakan di Masjid Nabawi di Madinah dan disertai oleh Gabenor Madinah, Putera Faisal bin Salman.
Selain itu, orang ramai turut mengadakan solat Istisqa di Masjid Turki bin Abdullah di Riyadh.
Menerusi khutbah yang disampaikan, golongan ulama menggesa umat Islam di negara ini supaya memanjat doa kepada Allah SWT memohon keampunan, selain berbuat kebaikan dan amal jariah serta hujan diturunkan bagi meredakan kemarau yang berlaku.-AFP