SIBU: Tiga unit lampu jalan berkuasa solar telah dicuri baru-baru ini di Jalan Diong Kik dan Lorong Deshon 18.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, kejadian yang berlaku dua hari lalu telah mengecewakan ramai penduduk setempat, memandangkan lampu-lampu tersebut dipasang untuk keselamatan dan kemudahan awam.
“Lorong Deshon 18 merupakan jalan persendirian yang digunakan oleh orang ramai dengan kebenaran pemilik tanah.
“Sebanyak 20 lampu jalan berkuasa solar dipasang di kawasan ini, menggunakan dana saya sebagai penyelesaian cepat untuk mengatasi masalah kegelapan pada waktu malam.
“Penduduk sangat gembira dengan pemasangan lampu tersebut kerana ia memberikan pencahayaan yang baik dan meningkatkan keselamatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila tiga unit lampu solar yang dianggarkan bernilai antara RM6,000 hingga RM7,000 telah dicuri.
“Pencuri dipercayai menggunakan alat mudah alih untuk memotong tiang dan mencuri lampu-lampu tersebut.
“Oleh itu, saya bercadang untuk menggantikan lampu-lampu yang dicuri dengan tiang yang lebih kukuh bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai agar tidak mencuri kemudahan awam yang disediakan untuk kebaikan bersama.
“Laporan polis akan dibuat bagi menyiasat kejadian ini dan saya berharap tiada lagi kes kecurian lampu jalan berlaku pada masa akan datang,” katanya.
Oleh Tarani Lanting