GAZA: Ratusan penganut Kristian di Bandar Gaza yang musnah akibat peperangan berkumpul di sebuah gereja semalam, berdoa supaya konflik yang memusnahkan sebahagian besar wilayah Palestin itu segera berakhir.
Sambutan kali ini tiada lagi cahaya lampu bergemerlapan, hiasan perayaan, mahupun pokok Krismas besar yang pernah menghiasi bandar itu selama beberapa dekad.
The Square of the Unknown Soldier yang dahulunya meriah dengan sambutan perayaan, kini musnah menjadi runtuhan akibat serangan udara berterusan Israel.
Di tengah-tengah kehancuran itu, sebahagian penduduk mencari ketenangan walaupun pertempuran terus berlaku di sepanjang di kawasan pesisiran pantai berkenaan.
Salah seorang penganut Kristian, George al-Sayegh, menyifatkan sambutan Krismas tahun ini ‘dipenuhi’ dengan kematian dan kemusnahan.
Beliau berlindung di Gereja Saint Porphyrius Greek Orthodox yang berusia 12 abad itu sejak beberapa minggu lalu.
“Tiada kegembiraan, tiada semangat perayaan, bahkan kami tidak tahu siapa yang akan selamat sehingga perayaan berikutnya,” katanya.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sebahagian daripada gereja itu sendiri musnah dalam serangan udara Israel pada Oktober tahun lalu, yang mengorbankan 18 penganut Kristian Palestin.
Kira-kira 1,100 penganut Kristian tinggal di Gaza, sebuah komuniti kecil yang turut menjadi mangsa peperangan sejak 7 Oktober tahun lalu apabila pertempuran antara Israel dan Palestin tercetus.
Menurut agensi pertahanan awam wilayah itu, serangan udara terbaharu Israel, termasuk yang mengorbankan beberapa kanak-kanak, menerima kritikan keras daripada Paus Francis.
“Dengan rasa sedih, saya teringatkan Gaza, kekejaman yang begitu meluas, kanak-kanak yang ditembak, pengeboman sekolah dan hospital. Begitu kejam,” katanya.
Menteri Luar Israel, Gideon Saar, bagaimanapun mengkritik kenyataan Paus itu.
Namun, kesedihan jelas terlihat di Gaza.
Bagi penduduk Bandar Gaza, Kamal Jamil Caesar Anton, musim perayaan Krismas kali ini dicemari dengan kesedihan yang mendalam.
Beliau berkata, isterinya Nahida dan anak perempuannya Samar terbunuh akibat serangan tembakan Israel dalam kawasan Gereja Holy Family, Disember lalu.
“Kami berdoa untuk keamanan, supaya peperangan berakhir dan rakyat dapat hidup dengan selamat,” katanya.
Perasaan itu turut disuarakan salah seorang penduduk Ramez al-Souri, yang mengalami tragedi pahit semasa serangan udara ke atas Gereja Saint Porphyrius.
Beliau berkata, tiga anaknya termasuk dalam kalangan mangsa yang terbunuh melalui serangan itu.
“Kami masih menderita. Kami tidak menyambut perayaan tahun lalu kerana kehancuran.
“Tahun ini, kami berharap peperangan berakhir, tetapi setiap hari kami kehilangan orang tersayang,” katanya.
Ketua komuniti Kristian tempatan, George Anton, pula berharap pihak yang bertelagah segera menamatkan pertempuran.
“Kami merayu semua pihak supaya menghentikan peperangan dan mencari jalan sebenar menuju keamanan,” katanya. – AFP