KABONG: Penduduk di Daerah Kabong kini mulai menikmati bekalan air bersih apabila sebahagian daripada Projek Bekalan Air Daerah Kabong-Pakej 1 telah mula beroperasi sepenuhnya pada 3 Mac lalu.
Projek yang menelan kos kira-kira RM107 juta itu melibatkan pembinaan saluran paip dari tangki air di Bukit Lebur ke tangki aras tinggi Kabong sejauh 36 kilometer.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, projek berkenaan bakal memberi manfaat kepada lebih kurang 5,700 isi rumah di kawasan terbabit.
“Apabila siap sepenuhnya nanti, ia bakal memberi manfaat besar kepada lebih kurang 5,700 isi rumah sekali gus menyelesaikan isu bekalan air yang membelenggu penduduk di Daerah Kabong selama ini.
“Saya berharap penduduk yang terjejas agar bersabar terlebih dahulu, dan saya percaya pelaksanaan projek ini akan siap mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya semasa mempengerusikan taklimat berhubung bekalan air di sini semalam.
Chee Kadir berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa projek menaik taraf bekalan air di kawasan Kabong akan siap sepenuhnya menjelang Ogos ini.
“Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti Sarawak dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana ini,” ujarnya.
Hasil daripada taklimat tersebut, rata-rata ketua kampung dan ketua masyarakat menyatakan masalah yang dialami sebelum ini sedikit sebanyak telah selesai, dengan adanya saluran paip dari tangki air di Bukit Lebur ke tangki aras tinggi Kabong tersebut.
“Saya juga memohon agar semua Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat (KMKK) yang hadir untuk mengemukakan usul permasalahan air di kawasan masing-masing, seperti menyatakan jumlah rumah yang masih mengalami tekanan air rendah,” jelasnya.
Hadir sama, Pengarah JBALB Sarawak, Awang Fardhillah Awang Husin, Jurutera JBALB Bahagian Betong, Tay Chiaw Teck dan wakil Pegawai Daerah Kabong, Ahmad Sabree Salleh.
Oleh ADI SAFARMAN