KUCHING: Kerjasama penduduk di Kampung Sungai Maong amat diperlukan selepas kampung tersebut diarahkan untuk menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ekoran terdapat peningkatan penularan kes positif Covid-19.
Ketua Polis Daerah Padawan, Supritenden Aidil Bolhassan berkata, sejurus mendapat arahan bahawa PKPD akan dilaksanakan di kampung tersebut pada jam 7.10 malam 16 Februari dan dua sekatan jalan telah dijalankan serta merta untuk memastikan tiada pergerakan keluar masuk ke sini.
“Bermula malam tadi (16 Februari) kita tidak benarkan penduduk keluar masuk ke kampung ini dengan menutup satu-satunya jalan masuk dan jeti di kampung ini.
“Dan setakat ini, penduduk memberi kerjasama yang baik kerana tidak ada perjalanan keluar masuk ke kampung,” jelasnya ketika memantau sekatan jalan di pintu masuk kampung.
Beliau juga memaklumkan sejumlah 35 petugas terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah ditugaskan dalam operasi ini.
“Dengan bantuan RELA dan APM, sekatan jalan telah dilaksanakan dengan lebih teratur dan cekap.
“Kampung ini juga tiada jalan tikus dan ini memudahkan untuk membuat pengawalan kerana kita juga sudah ada pengalaman ketika PKPD di Kampung Haji Baki yang jauh lebih besar jumlah penduduk dan kawasan,” jelasnya lagi.
Ketua Kampung Sungai Maong, Masni Morri juga memesan agar penduduk dapat memberi kerjasama untuk jalani ujian calitan Covid-19.
“Saya harap semoga kita sama-sama memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membantu supaya virus ini tidak menular.
“Kita tidak perlu panik dengan melarikan diri keluar ke kampung dan hanya perlu mendengar arahan sahaja selain yakin bahawa kerajaan akan membantu kita dari semua segi,” katanya lagi.
Beliau juga berkata bahawa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah ditugaskan dan sebarang pertanyaan boleh hubungi JKKK yanh bertugas.
Sebelum itu terdapat 18 kes positif Covid-19 yang telah dikesan dalam Kluster Sungai Maong dan dijangka 761 orang penduduk di kampung berkenaan akan menjalani ujian calitan Covid-19.
Oleh ASYRAF HALIM