
NAPLES: Gempa bumi kuat melanda bandar Naples di selatan Itali hari ini, mengejutkan ramai penduduk daripada tidur akibat gegaran kuat dan menyebabkan sebahagian mereka bertempiaran ke jalanan, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Institut Geofizik dan Vulkanologi Kebangsaan Itali memaklumkan gempa bumi berukuran 4.4 magnitud itu melanda kawasan Phlegraean Fields, sebuah kawasan aktiviti gunung berapi tinggi yang meliputi pinggir barat bandar itu hingga ke Laut Mediterranean, pada 5.51 pagi (0351 GMT).
Tiada kerosakan segera dilaporkan akibat gempa bumi itu, yang merupakan antara yang paling kuat melanda rantau berkenaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Tahun lepas, gempa bumi berukuran 4.6 magnitud direkodkan di kawasan Phlegraean Fields.
Pusat gempa terbaharu pada Khamis itu terletak di laut berhampiran pinggir bandar Pozzuoli dan Bacoli. Gegaran turut dirasai di pelbagai daerah di Naples, yang terletak di kaki Gunung Vesuvius.
Beberapa sekolah kekal ditutup pada Khamis sebagai langkah berjaga-jaga. Kira-kira tiga juta penduduk tinggal di bandar itu dan kawasan sekitarnya. – Bernama