ROBAN: Sebanyak 371 tangki air sumbangan kerajaan Sarawak telah diagihkan kepada penduduk di kawasan Roban, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata agihan tangki air itu melibatkan sebanyak 11 rumah panjang dan juga penduduk Cina di pekan Roban dan sekitarnya.
Antara 10 rumah panjang terbabit ialah Rumah Aboi Panjang Atas Kesindu, Rumah Atai Panjang Kranggang; Rumah Belayong Sungai Empait Ulu; Rumah Chaong Engkerumai Ulu Roban; Rumah Entengan Sungai Maboh Ulu Roban.
Selain itu, Rumah Gadoh Sungai Nabau; Rumah Gerijah Kranggas Baru; Rumah Jackison Sungai Jaong Ulu Roban; Rumah Luang Sungai Kelampai Ulu Roban; Rumah Rimong Panjang Kranggas dan penduduk Cina di kawasan Roban.
“Sumbangan tangki air itu melegakan kebimbangan penduduk ketika berdepan musim kemarau khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai tempat simpanan air.
“Saya berharap penerima bantuan tangki itu menggunakan kemudahan yang disalurkan itu dengan berhemah dan dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan itu untuk kegunaan mereka terutamanya ketika ketiadaan air,” katanya semasa menyempurnakan simbolik penyerahan tangki air daripada kerajaan Sarawak fasa empat di pekan Roban, hari ini.
Chee Kadir berkata kerajaan Sarawak sentiasa peka dengan masalah yang dihadapi penduduk dan berusaha dengan sedaya upaya untuk membantu rakyat.
“Penyerahan tangki air itu membuktikan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan rakyat mendapat bekalan air secara konsisten. Sehubungan itu, saya berharap masyarakat setempat menghargai sumbangan kerajaan Sarawak yang sentiasa berusaha memastikan rakyat hidup dalam keadaan selesa,” katanya.
Hadir sama, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban Steve Miller Nuas dan Penghulu Lim Kheng Huat.
Oleh Adi Safarman