KOTA SAMARAHAN: Kerajaan negeri yang dipimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa berusaha menyediakan kemudahan dan sistem pendidikan yang terbaik untuk rakyat, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, kerajaan negeri percaya pendidikan sangat penting tanpa mengambil kira kaum dan agama kerana ia adalah kunci untuk kejayaan generasi masa akan datang.
“Tidak kira sama ada anda berbangsa Cina, Melayu, Iban, Orang Ulu, Bidayuh dan sebagainya, apabila anda mempunyai anak, anda mahu anak anda dididik dan mempunyai pendidikan sempurna, maka itulah kuncinya.
“Dari segi pendidikan, kerajaan negeri merasakan bahawa kita harus membantu bukan hanya sekolah Cina tetapi juga sekolah-sekolah lain.
“Sekiranya negeri kita stabil dan damai, maka ekonomi baik dan kita mendapat pendapatan tambahan, mengapa tidak kita berkongsi dengan sekolah Cina, sekolah bantuan dan juga institusi pengajian tinggi lain, kerana kita mesti memberi demi kepentingan rakyat Sarawak, ”katanya ketika merasmikan pembukaan Sekolah Baharu SJK (C) Chung Hua Bako di sini, semalam.
Tambahnya, ini adalah masa yang sesuai untuk semua pihak bekerjasama demi masa depan negeri serta pendidikan di Sarawak.
“Bagi saya, jika orang meminta tolong, saya tolong sebaik mungkin dan ia adalah prinsip saya.
“Kita di pihak Kabinet Negeri akan berusaha sebaik mungkin untuk membangunkan negeri menjadi yang paling maju menjelang 2030.
“Dari sudut digital, kita sedang berusaha meningkatkan infrastruktur digital termasuk perbankan digital dan kita berharap dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang, negeri ini mempunyai capaian internet yang pantas,” jelasnya.
Pada majlis tersebut, beliau menyerahkan peruntukan RM8 juta kepada Menteri Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian bagi pihak unit khas Sekolah Rendah Bantuan Cina di Sarawak.
Beliau turut menyampaikan bantuan kewangan kepada 12 sekolah Cina iaitu SJK Chung Hua Stampin, SJK Chung Hua No.2, SJK Chung Hua Tondong, SJK Chung Hua Batu 4 ½, SJK Kai Nang Sibu, SJK Chung Hua Sg Jernang, SJK Chung Hua Batu 35, SJK Chung Hua Lingga, SJK Chung Hua Debak, SJK Ek Thei, SJK Yee Ting Kanowit dan SJK Kai Ming Bintulu.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato’ Sri Michael Manyin Jawong; Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin; Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting; Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Naroden Majais; Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang; Presiden Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan Cina, Jonathan Chai dan Timbalan Presiden selaku Pengerusi majlis, Rodger Chan.