
JOHOR BAHRU: Pendaki yang meninggal dunia selepas terjatuh di laluan Banyu Urip, Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Sabtu lepas, selamat dikebumikan pagi tadi.
Allahyarham Rennie Abdul Ghani, 57, yang merupakan seorang jurutera di sebuah syarikat swasta, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mutmainah, Pasir Gudang, di sini, pada 7.20 pagi.
Terdahulu, van yang membawa jenazah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tiba di kediaman Allahyarham di D’Sierra Ville, Taman Sierra Perdana, di sini pada 3.00 pagi.
Solat jenazah diadakan di Surau Raudhatul Jannah, Taman Sierra Perdana, yang dihadiri lebih 150 individu termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat.
Anak sulung Allahyarham, Mohamad Akashah, 29, berkata Gunung Rinjani merupakan destinasi terakhir yang ingin ditawan oleh bapanya, yang disifatkan sebagai seorang ayah bertanggungjawab, tegas dan berdedikasi dalam pekerjaan.
“Ayah telah mendaki semua gunung di Malaysia dan memaklumkan bahawa beliau tidak akan mendaki lagi selepas ke Gunung Rinjani. Beliau sangat teruja untuk ke sana.
“Kami sekeluarga sedih namun reda kerana beliau pergi dalam keadaan gembira. Gunung Rinjani memang berada dalam senarai impiannya,” katanya.
Mohamad Akashah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu melancarkan urusan membawa pulang jenazah Allahyarham ke tanah air.
Sementara itu, pelakon tanah air, Riezman Khuzaimi, 55, yang juga abang ipar Allahyarham berkata mereka sering mendaki gunung bersama sebelum ini.
“Kali ini (pendakian ke Gunung Rinjani), saya tidak dapat turut serta kerana kekangan kerja. Allahyarham dikenali sebagai seorang yang sangat baik dan suka membantu,” katanya.
“Wajahnya kelihatan tenang seperti sedang tidur. Kami sekeluarga lega kerana urusan pengebumian berjalan lancar setelah menunggu maklumat dan proses membawa pulang jenazah sejak Sabtu lepas,” tambahnya.
Rennie dijumpai meninggal dunia oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Indonesia pada Ahad, selepas jasadnya berjaya dibawa keluar dari dasar jurang sedalam kira-kira 80 meter pada pukul 10.30 pagi waktu tempatan.
Menurut Balai Taman Nasional Gunung Rinjani, berdasarkan maklumat daripada jurupandu dan rakan pendaki, insiden itu berlaku sekitar 11.00 pagi Sabtu, ketika kumpulan berhenti mengambil air di mata air Banyu Urip, namun Allahyarham dipercayai meneruskan perjalanan dan tidak berhenti bersama yang lain.
Mangsa memulakan pendakian melalui laluan Sembalun pada 1 Mei bersama kumpulan seramai 23 orang.– Bernama