
VIENNA: Seorang pendaki warga Jerman yang cedera parah berjaya diselamatkan di Banjaran Alps Tyrol selepas terselamat sepanjang malam di dalam salji pada ketinggian kira-kira 2,200 meter susulan operasi mencari dan menyelamat berskala besar, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik polis Austria pada Rabu.
Lelaki itu, yang berasal dari negeri Baden-Wurttemberg di barat daya Jerman, memulakan pendakian secara bersendirian berhampiran Bach dekat sempadan Bavaria pada pagi Selasa sebelum terjatuh di kawasan pergunungan, menurut polis.
Apabila beliau gagal pulang menjelang malam, pemilik penginapannya menghubungi perkhidmatan kecemasan.
Polis, anggota bomba, pasukan penyelamat gunung bersama anjing pengesan serta dron dikerahkan, namun operasi terpaksa ditangguhkan semalaman berikutan keadaan cuaca yang buruk.
Sebuah helikopter menyambung semula pencarian pada pagi Rabu sebaik sahaja kabus reda, membolehkan pasukan penyelamat diturunkan ke kawasan berkenaan.
Mangsa ditemui di sebuah genting gunung yang dilitupi salji berhampiran Strahlkopf Peak setinggi 2,388 meter di Allgau Alps, iaitu penyiasat percaya beliau terjatuh dari cerun curam dan berbatu.
Perkhidmatan penyelamat udara berkata suhu di kawasan itu menurun hingga sekitar takat beku sepanjang malam.
“Bagi semua yang terlibat, ia hampir dianggap satu keajaiban apabila pendaki itu berjaya mengharungi malam dalam keadaan sedemikian,” kata pasukan penyelamat gunung menerusi Facebook.
Menurut polis, pendaki itu berada dalam keadaan sedar tetapi tidak dapat mengingati bagaimana kemalangan berlaku. Beliau kemudian diterbangkan ke sebuah hospital di Murnau, Jerman.- Bernama-dpa