
MIRI: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini telah mengumumkan kadar dividen luar biasa sebanyak 6.3 peratus bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Shariah.
Ini merupakan kadar tertinggi sejak era pra-Covid-19, sekali gus menegaskan keupayaan ekonomi negara untuk bangkit dengan kukuh pasca pandemik.
Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man, berkata meskipun dunia masih dibayangi ketidaktentuan ekonomi global, pencapaian KWSP ini membuktikan bahawa dasar ekonomi negara sedang berada pada landasan yang tepat, selari dengan usaha kerajaan dalam memacu pertumbuhan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Katanya, peningkatan kadar dividen ini bukanlah mudah dicapai dalam persekitaran pasaran yang mencabar.
“Namun, hasil daripada pelaksanaan Dasar Ekonomi Madani yang menitikberatkan reformasi fiskal, pengukuhan tadbir urus, dan keseimbangan pertumbuhan, KWSP terus konsisten dalam menawarkan pulangan kompetitif.
“Lebih penting lagi, kejayaan ini adalah refleksi keyakinan pelabur terhadap komitmen kerajaan untuk memastikan ekonomi Malaysia terus berdaya tahan,” katanya dalam satu kenyataan media selepas Mesyuarat Pertama, Dewan Rakyat, Penggal Keempat, Parlimen Kelima Belas 2025 di Kuala Lumpur, semalam.
Tambahnya, kerajaan juga kekal fokus memperkukuh institusi, menambah baik kecekapan pentadbiran, serta menarik pelaburan berkualiti tinggi demi manfaat jangka panjang rakyat, dan generasi akan datang.
“Selain mencerminkan pemulihan ekonomi negara, kadar dividen tinggi ini memberi impak langsung kepada rakyat.
“Simpanan persaraan meningkat, manakala pesara mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna, lantas membantu meningkatkan taraf hidup mereka,” jelasnya.
Mengulas lanjut perkara ini, Chiew berkata, sesetengah pencapaian ekonomi mungkin kelihatan “cantik di atas kertas” tetapi belum cukup dirasai oleh masyarakat.”
Katanya, peningkatan dividen KWSP ini menunjukkan bagaimana kestabilan dan pertumbuhan ekonomi yang diusahakan kerajaan telah mula memberi manfaat nyata, menyuntik keyakinan bahawa pelbagai usaha yang dirancang sedang membuahkan hasil.
“Kerajaan menyedari bahawa akan sentiasa ada pihak yang cuba mengalihkan fokus daripada agenda pemulihan dan pembangunan.
“Namun, pelbagai usaha distraksif tidak akan menggugat azam kerajaan untuk terus melaksanakan tadbir urus yang baik dan menunaikan janji-janji reformasi institusi.
“Kerajaan yakin bahawa dengan sokongan padu rakyat, Malaysia mampu terus berada di hadapan, meletakkan ekonomi negara dalam kedudukan kukuh dan kompetitif,” ujarnya lagi.
Justeru, dengan pencapaian cemerlang KWSP sebagai petanda awal, Kerajaan bertekad untuk terus memastikan pencapaian ekonomi yang stabil dan inklusif menjadi realiti buat setiap lapisan masyarakat.
“Sekiranya diberi ruang dan masa, kita yakin bahawa lebih banyak kejayaan dapat dikecapi, menjana kehidupan lebih sejahtera dan makmur untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Kerajaan akan terus fokus memacu pertumbuhan ekonomi berkualiti, meningkatkan daya saing negara, serta memelihara kepentingan rakyat pada setiap masa.
“Kita berada di landasan yang tepat untuk mencipta kejayaan yang lebih gemilang,” katanya.
Oleh Adum Liu