KUALA KUBU BHARU: Seorang penarik kereta didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan melakukan ugutan melalui telefon terhadap seorang anggota polis.
Omar Abdul Latif, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak sebagai Majistret.
Tertuduh didakwa telah menakutkan secara jenayah melalui telefon terhadap Lans Koperal, C. Govindan, 30, di perkarangan Balai Polis Hulu Bernam, Hulu Selangor di sini pada 10.46 malam, 21 Julai 2019 mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Muhamad Amin menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Omar yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana dia menanggung keluarga.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Julai untuk sebutan kes bagi lantikan peguam.– Bernama