
KUCHING: Usaha mempercepatkan proses penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sedang dilakukan ketika ini bagi memastikan cadangan tersebut dapat dibawa ke peringkat seterusnya secepat mungkin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, perkara itu kini sedang diteliti oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum sebarang langkah lanjut dapat dilaksanakan.
Menurut beliau, kerajaan mengambil maklum suara dari Sarawak yang mahukan penambahan kerusi DUN bagi memastikan kawasan yang luas dapat diwakili dengan lebih efektif.

“Itu sudah dibangkitkan. Tapi saya fikir SPR sedang meneliti perkara tersebut. Jadi kita harap supaya dapat dipercepatkan.
“Saya tidak mahu komen banyak tetapi yang penting kita mendengar suara-suara daripada Sarawak terutamanya untuk penambahan kerusi DUN ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis berbuka puasa dan beramah mesra bersama pengamal media Sarawak di YS Cafe, di sini hari ini.
Tambah Mustapha, pihaknya berharap semua pihak yang terlibat dapat mempercepatkan proses penelitian supaya cadangan tersebut dapat dipertimbangkan dengan lebih segera.
“Kita berharap pihak-pihak yang terlibat dapat mempercepatkan proses ini,” katanya.
Sebelum ini, Dewan Undangan Negeri Sarawak telah meluluskan cadangan untuk menambah 17 kerusi DUN sebagai langkah memperkukuh sistem perwakilan rakyat selaras dengan keluasan kawasan negeri tersebut.
Oleh Shahrul Qaizat