Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Pemuda PBB tegur Dapsy terus putar belit isu pengambilalihan Pelabuhan Bintulu
  • TEMPATAN

Pemuda PBB tegur Dapsy terus putar belit isu pengambilalihan Pelabuhan Bintulu

Utusan Sarawak 4 hours ago
SETIAUSAHA Politik Premier Sarawak, Afiq Fikri Ibrahim.

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyifatkan tindakan Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (Dapsy) yang terus mempertikaikan isu pengambilalihan Pelabuhan Bintulu sebagai cubaan memutarbelitkan fakta dan mengelirukan rakyat.

Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Timbalan Bendahari Pergerakan Pemuda PBB, Afiq Fikri Ibrahim, berkata isu utama yang dibangkitkan bukanlah mengenai pengiktirafan terhadap peranan Kerajaan Persekutuan dalam proses pengambilalihan tersebut, sebaliknya sikap Dapsy yang didakwa menafikan usaha kerajaan Sarawak yang dipimpin Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, Dapsy masih enggan mengakui kekhilafan mereka walaupun menerima kritikan daripada rakyat Sarawak susulan tindakan mengedit visual yang didakwa menutupi imej Premier Sarawak sebelum ini.

“Walaupun visual tersebut telah diperbetulkan, sehingga kini tiada permohonan maaf dikemukakan dan mereka terus mempertahankan bahawa perkara itu berlaku tanpa disengajakan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Afiq berkata, tindakan itu seolah-olah menunjukkan wujud usaha untuk menafikan peranan kerajaan Sarawak dalam merealisasikan pengambilalihan Pelabuhan Bintulu, yang disifatkannya sebagai satu lagi kejayaan penting dalam memperjuangkan hak dan kepentingan negeri.

Beliau turut menyelar kenyataan Dapsy yang didakwa memperkecilkan nilai pampasan sebanyak RM1.8 bilion yang dibayar kerajaan Sarawak bagi mengambil alih pelabuhan berkenaan.

Katanya, walaupun jumlah tersebut merupakan hasil rundingan antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, ia tetap melibatkan nilai yang besar serta mencerminkan kekuatan kewangan negeri.

“Nilai RM1.8 bilion itu melebihi Belanjawan Negeri Pulau Pinang bagi 2026 dan kira-kira tiga kali ganda lebih besar daripada rizab negeri tersebut yang dianggarkan sekitar RM600 juta.

“Ini menunjukkan Sarawak berada dalam kedudukan kewangan yang amat kukuh hasil dasar pembangunan ekonomi yang diterajui Premier Sarawak selama ini,” katanya.

Menurut beliau, pencapaian itu turut mendapat pengiktirafan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini menyatakan bahawa beliau tidak pernah menyaksikan sebuah kerajaan negeri menyerahkan cek pampasan kepada Kerajaan Persekutuan.

Afiq berkata, pengambilalihan Pelabuhan Bintulu merupakan satu pencapaian besar yang difahami dan dihargai rakyat Sarawak, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan Sarawak dalam mengembalikan hak-hak negeri.

Dalam pada itu, beliau berkata Pemuda PBB mengalu-alukan pengiktirafan Dapsy terhadap usaha Kerajaan Sarawak memperjuangkan hak-hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Bagaimanapun, katanya, pengiktirafan tersebut perlu disertai sokongan yang konsisten dan bukan sekadar kenyataan politik semata-mata.

“Jangan hanya mengiktiraf perjuangan MA63 apabila ia melibatkan pemimpin tertentu, tetapi akuilah juga kejayaan yang dicapai hasil usaha berterusan kerajaan Sarawak serta kerajaan-kerajaan terdahulu dalam memperjuangkan hak negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, perjuangan menuntut hak dan kepentingan Sarawak sentiasa menjadi agenda utama Gabungan Parti Sarawak (GPS) tanpa mengira siapa yang menerajui Kerajaan Persekutuan.

Katanya, MA63 bukan sekadar slogan politik yang diangkat mengikut musim, sebaliknya merupakan asas pembentukan Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perjuangan menuntut dan mengembalikan hak-hak Sarawak ialah satu amanah yang perlu terus dipertahankan. GPS akan terus komited memperjuangkan hak serta keistimewaan Sarawak demi kepentingan rakyat dan masa depan negeri,” katanya.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Lelaki ditahan bantu siasatan kes curi buah sawit, bapa masih diburu
Next: Kapit bakal jadi hab ekonomi rendah karbon Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.