
Pemuda PBB digesa bersiap sedia hadapi pilihan raya
KABONG: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kabong digesa untuk menguatkan lagi jentera parti serta sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya pilihan raya pada bila-bila masa.
Ketua Cawangan PBB Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata beliau mahu memastikan kesiap siagaan melibatkan aspek jentera dan pergerakan aktif sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau parlimen, pemuda perlu turun padang.
“Pergerakan Pemuda mahupun Wanita PBB Kabong harus mempergiatkan program turun padang bagi mendekati rakyat di peringkat akar umbi serta rakyat keseluruhannya.
“Aktiviti turun padang itu tidak hanya untuk mengetahui, memahami serta menyelesaikan masalah dihadapi penduduk akar umbi, malah dijadikan platform mendaftar ahli baharu.
“Ini adalah rutin kita di PBB kerana berasakan apabila ada sesuatu majlis atau keramaian, itulah masa terbaik untuk memberi perkhidmatan kepada akar umbi secara turun padang dan cara ini ternyata berkesan,” katanya pada majlis ringkas penyerahan borang keahlian PBB Kabong dekat sini, semalam.
Chee Kadir berkata aktiviti turun padang oleh ahli PBB adalah amalan yang berterusan dan tidak dilakukan secara bermusim bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan terbaik, terutama dalam menyelesaikan sebarang permasalahan.
“Kita mahu pastikan Pergerakan Pemuda PBB Kabong akan sentiasa berada di barisan hadapan dalam menaikkan momentum parti ini bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Ini menjadi tanggung jawab dan peranan kepada Pemuda PBB dalam memastikan pentadbiran kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dapat diteruskan demi kebaikan negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Chee Kadir turut menekankan pentingnya peranan media sosial dalam menyampaikan mesej parti kepada generasi muda, di samping memperkasakan program kemasyarakatan yang dapat menarik minat golongan belia menyertai perjuangan PBB.
Turut hadir ialah Naib Ketua Cawangan PBB N.40 Kabong, Maini Spawi, Ketua Pergerakan Pemuda PBB N.40 Kabong, Abdul Rahim Peli serta ketua-ketua ranting PBB N.40 Kabong.
Oleh Adi Safarman