
MUKAH: Seorang pemuda 29 tahun ditahan polis selepas dipercayai memiliki dadah jenis syabu dalam serbuan di hadapan sebuah rumah panjang di Batu 12, Jalan Lama Metading–Selangau, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias, berkata suspek, seorang warga tempatan, ditahan kira-kira jam 1.05 tengah hari oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui satu keratan tiub straw lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 0.32 gram dan nilai pasaran kira-kira RM110.

“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Mukah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama bagi kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan.
“Suspek yang bekerja sebagai buruh direman empat hari sehingga 6 Januari 2026 bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi dan akan terus mempergiat usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dadah diminta menghubungi IPD Mukah di talian 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Tarani Lanting