SEMUA pihak perlu melihat cadangan kerajaan melakukan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dalam aktiviti sukan dan sosial sebagai langkah positif dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berpandangan SOP sedia ada dilihat dapat mengawal penularan pandemik berkenaan dalam kalangan ahli sukan, namun mengalu-alukan sebarang penambahbaikan terhadap SOP berkenaan demi kebaikan semua.
“Kalau ada apa-apa perubahan akan dikemukakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kita akan pastikan ahli gabungan kita mengikuti SOP berkenaan yang dikeluarkan menerusi Kementerian Belia dan Sukan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Pandangan sama turut disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Latihan dan Pertandingan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) Datuk Musa Omar yang berkata, badan induk itu sedia menerima segala penambahbaikan yang dicadangkan oleh MKN dan KKM.
Majlis Sukan Negara (MSN) sedang melaksanakan pendekatan latihan dalam kuarantin berpusat, melibatkan atlet negara yang terlibat dalam program ‘Road to Tokyo 2020’ di tiga venue utama iaitu Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara dan Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan.
Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi catatan dalam laman Facebooknya memaklumkan, beliau telah mengarahkan MKN membuat penilaian semula ke atas SOP bagi aktiviti sosial dan sukan agar dapat diperketatkan lagi, bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
SOP berkenaan jelas Muhyiddin, berkemungkinan menyamai SOP ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini. – Bernama