
RIO DE JANEIRO: pemimpin sindiket jenayah Brazil, PCC, ditahan di Bolivia selepas enam tahun melarikan diri, menurut media Brazil pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Gerson Palermo dijatuhi hukuman penjara hampir 126 tahun atas jenayah pengedaran dadah antarabangsa dan rampasan pesawat, lapor portal berita G1. Dia disenaraikan sebagai antara penjenayah paling dikehendaki di Brazil.
Menurut penyiasat, Palermo ditahan di Santa Cruz de la Sierra di timur Bolivia dalam operasi bersama Polis Persekutuan Brazil dan unit antidadah Bolivia.
Dia akan dihantar pulang dan diserahkan kepada polis Brazil, menurut G1 yang memetik ketua unit antidadah Bolivia David Gómez.
“Dia tidak berdepan perbicaraan di Bolivia, tetapi dia bersembunyi dan melarikan diri daripada keadilan Brazil di negara kami,” kata Gómez.
Palermo dibebaskan dari penjara pada 2020 susulan keputusan mahkamah yang mencetuskan kontroversi sebelum menghilangkan diri.
Hakim yang terbabit dalam keputusan itu kemudian dipaksa bersara oleh Majlis Kehakiman Kebangsaan Brazil.
Menurut G1, Palermo terbabit dalam rampasan sebuah pesawat pada 2000, apabila pesawat Boeing 737 milik syarikat penerbangan Brazil, Vasp, dipaksa mendarat di negeri Paraná dan dirompak.
Penyiasat berkata Palermo kemudiannya menjadi sebahagian daripada kepimpinan PCC (Primeiro Comando da Capital).
Kumpulan itu dianggap sebagai organisasi jenayah paling berkuasa di Brazil dan pemain utama dalam penyeludupan kokain dari negara-negara Andes.-Bernama-dpa