Pembonceng maut, penunggang motosikal parah langgar Hilux di Meradong

Facebook
WhatsApp
KEMALANGAN melibatkan sebuah motosikal melanggar bahagian belakang sebuah Toyota Hilux di Kilometer 489.4 Jalan KJD (Lebuh Raya Pan Borneo), Meradong.

MERADONG: Seorang pembonceng motosikal maut manakala penunggangnya parah selepas motosikal dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah Toyota Hilux di Kilometer 489.4 Jalan KJD (Lebuh Raya Pan Borneo), di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintendan Tansli Mering berkata, dalam kejadian sekitar 11.40 malam itu, mangsa yang berumur 65 tahun, dari Rumah Kinchu, Batu 8 Ulu Mador, Meradong, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pembantu Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bintangor.

“Penunggang motosikal berusia 30 tahun pula mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki dan tangan, manakala pemandu Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati motosikal jenis SYM DX110 itu dalam perjalanan dari arah Sibu menuju Bintangor sebelum melanggar bahagian belakang kanan Toyota Hilux yang diletakkan di bahu kiri jalan.

SEORANG pembonceng motosikal maut manakala penunggangnya parah selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan KJD, Meradong.

“Akibat pelanggaran itu, motosikal terbabit terbabas ke bahu kiri jalan menghala ke Bintangor manakala penunggang dan pembonceng tercampak ke lorong kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala polis turut mengesan saksi bebas serta meminta orang ramai yang mempunyai rakaman dashcam atau kamera lain berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zainal Abdul Ghafar di talian 011-11945095 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Meradong.