
LUNDU: Projek pembinaan Jambatan Batang Rambungan kini mencatatkan kemajuan memberangsangkan apabila mendahului jadual, dengan kemajuan fizikal mencapai 5.84 peratus berbanding 3.76 peratus yang dijadualkan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Aidel Lariwoo, berkata perkembangan positif itu menunjukkan prestasi kerja yang baik daripada semua pihak terlibat.
“Kita berharap momentum ini dapat dikekalkan agar pembinaan jambatan ini dapat disiapkan lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan, iaitu Julai 2027,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek hari ini.

Datuk Ir. Aidel menambah, projek ini merupakan komponen penting dalam Seksyen Sempadi–Lundu bagi Jalan Pesisir Sarawak dan telah disambung semula pada November 2024 oleh kontraktor baharu, Titanium Project Management Sdn. Bhd. selepas pengambilalihan melalui proses tender semula terbuka berikutan prestasi lemah kontraktor terdahulu.
Menjelas lanjut, Datuk Aidel berkata, antara kerja utama yang sedang giat dijalankan ialah pembinaan dua struktur pilon, yang merupakan elemen kritikal dalam pembinaan jambatan.

“Apabila struktur pilon ini siap, kerja-kerja seterusnya akan menjadi lebih mudah dan cepat untuk disiapkan,” ujarnya.
Beliau turut memuji peningkatan ketara dari segi bilangan tenaga kerja serta peralatan di tapak projek termasuk pemasangan tower crane baharu yang diperlukan untuk kerja-kerja konkrit dan struktur bertingkat.
“Peningkatan ini mencerminkan komitmen tinggi daripada kontraktor baharu, dan menjadi petunjuk jelas bahawa projek kini berada di bawah pengurusan yang lebih tersusun dan efisien,” tambahnya. – UKAS