KUCHING: Pembeli rumah projek pembangunan perumahan di Jalan Stapok akhirnya menarik nafas lega setelah perjuangan bertahun-tahun mendapatkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) iaitu permit menduduki rumah diberi perhatian oleh pemaju.
Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen berkata, pihak pemaju akhirnya bertindak susulan aduan diterima pihak Parti Tindakan Demokratik (DAP) daripada pembeli rumah dengan penglibatan pihak media untuk membangkitkan isu tersebut sekitar dua minggu lalu.
“Pemaju mengambil masa dua minggu untuk mengeluarkan permit kepada pembeli.
“Respons ini daripada beberapa pembeli rumah yang saya jumpa. Ternyata mereka gembira setelah perjuangan terbalas dengan akhirnya berjaya memperoleh permit yang sekian lama dituntut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kata Chong lagi, pembeli membeli rumah di kawasan tersebut pada 2017 dan 2018.
“Termaktub dalam perjanjian bahawa pemaju sepatutnya menyerahkan rumah kepada pembeli dalam tempoh dua tahun dari tarikh perjanjian itu.
“Namun sehingga Julai 2023, kira-kira lima tahun selepas pembelian rumah tersebut, pembeli masih gagal memperoleh permit meskipun berterusan membayar faedah dan ansuran pinjaman kepada pihak bank,” katanya.
“Pada 13 Julai lalu, pembeli telah berjumpa dengan saya dan menurut mereka, pembinaan rumah hampir siap sejak tahun lepas.
“Sekitar Julai 2022, Pemaju telah berjanji untuk mengeluarkan dan menyerahkan permit dituntut pembeli.
“Berjanji sehingga selama satu tahun, janji masih gagal dikotakan oleh pemaju.
“Selepas pertemuan bersama pembeli rumah di kawasan itu, saya telah mengeluarkan surat kepada kedua-dua pemaju dan Menteri Perumahan, menggesa perkara itu diselesaikan segera.
“Dalam tempoh 2 minggu dari tarikh surat saya, pemaju telah memberi maklum balas manakala tiada sebarang jawapan daripada Menteri Perumahan terhadap perkara ini.
“Akhirnya, pembeli telah mendapatkan rumah mereka.
“Pastinya akan ada beberapa penalti yang pemaju perlu bayar kepada pembeli ke atas kelewatan tersebut.
“Terdapat juga beberapa kecacatan yang perlu dibaiki, tetapi secara keseluruhannya saya gembira kerana perkara itu telah diselesaikan segera,” ujarnya.
Oleh Connie Chieng