
BAU: Seorang pembantu jualan berusia 24 tahun mengalami kerugian sebanyak RM3,270 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pinjaman tidak wujud yang diiklankan menerusi media sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, mangsa membuat laporan polis hari ini selepas menyedari dirinya ditipu.
Beliau berkata mangsa melihat iklan pinjaman tersebut di Facebook pada 1 Julai ketika berada di rumahnya di Kampung Sungai Pinang, Siniawan, Bau, sebelum menekan pautan berkenaan kerana berminat mendapatkan pinjaman bagi kegunaan peribadi.
“Mangsa kemudian dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh individu yang mendakwa mewakili sebuah syarikat pinjaman. Selepas menghantar salinan kad pengenalannya, mangsa ingin membatalkan permohonan tetapi dimaklumkan bahawa dia perlu membayar denda sebanyak RM5,000.
“Kerana bimbang dikenakan denda tersebut, mangsa meneruskan permohonan pinjaman sebanyak RM3,000 yang kononnya mempunyai bayaran balik RM132 sebulan selama dua tahun,” katanya.
Mohd Haide berkata, mangsa kemudiannya diarahkan membuat beberapa bayaran bagi tujuan insurans pinjaman, urusan perjanjian, pengaktifan akaun, penyelarasan pinjaman, cukai jualan dan perkhidmatan, pengesahan deposit serta perjanjian pemberian pinjaman.
Antara 1 hingga 3 Julai, mangsa telah memindahkan wang berjumlah RM3,270 ke tiga akaun bank berbeza seperti diarahkan.
“Selepas semua bayaran dibuat, mangsa tidak menerima wang pinjaman yang dijanjikan. Apabila mangsa sekali lagi ingin membatalkan pinjaman, dia diminta membayar denda RM5,000,” katanya.
Menyedari dirinya ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Mohd Haide menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan iklan pinjaman dalam talian yang meminta bayaran pendahuluan kerana institusi kewangan yang sah tidak akan mengenakan bayaran sedemikian sebelum pinjaman diluluskan dan disalurkan.
Beliau turut menggesa mangsa penipuan dalam talian supaya segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan melalui talian 997 bagi melaporkan transaksi mencurigakan dan mendapatkan bantuan.
Oleh Connie Chieng