
SIMANGGANG: Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata pelbagai inisiatif pembangunan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan di Sri Aman membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan tersebut.
Beliau menjelaskan, pendekatan pembangunan yang dirancang bukan sahaja memberi fokus kepada kemudahan asas, malah turut merangkumi aspek pembangunan modal insan serta pertumbuhan ekonomi setempat.
Di kesempatan itu juga, Harden memberi penerangan mengenai rencana pembangunan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan untuk rakyat di Sri Aman, khususnya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang.
Antara projek yang telah siap di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) termasuk Sarawak Skills Cawangan Sri Aman, pemasangan lampu isyarat pintar serta pembinaan jambatan merentangi Sungai Undop di Kampung Beleti Sabu.
Menurut beliau, projek-projek tersebut telah memberi impak positif kepada penduduk setempat dari segi kemudahan latihan kemahiran, keselamatan jalan raya serta akses perhubungan yang lebih baik.
Bagi projek yang sedang berjalan pula, Harden berkata ia dijangka memberi impak tinggi terhadap pembangunan Sri Aman, termasuk pembinaan Jambatan Batang Lupar 2, Simanggang Link serta jalan raya Brayun-Basi-Stuga.
Selain itu, projek lain seperti Batu Lintang Services Centre dan pembinaan kawalan sempadan (border post) di Sungai Putong turut dilaksanakan bagi memperkukuh kemudahan ekonomi dan keselamatan di kawasan berkenaan.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menambah, kerajaan turut memberi perhatian kepada projek menangani masalah banjir menerusi naik taraf sistem perparitan di Taman Tiara, Kampung Resak dan Kampung Muhibbah.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri 2026 anjuran Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Simanggang dengan kerjasama lapan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Melayu kawasan DUN N.32 Simanggang di Dewan Serbaguna Kampung Muhibbah, semalam.
Majlis tersebut diadakan bagi meraikan sambutan Aidilfitri bersama komuniti Melayu di kawasan itu, selain mengeratkan hubungan antara penduduk dengan wakil rakyat serta pemimpin masyarakat pelbagai kaum.
Dalam ucapan aluan, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Islam Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Melayu DUN Simanggang, Shaibi Bakir merakamkan penghargaan kepada Harden atas komitmen berterusan membantu komuniti Melayu termasuk institusi surau dan masjid.
Beliau turut mengajak masyarakat Melayu agar terus menyokong kepimpinan Harden yang disifatkan telah banyak menyumbang kepada pembangunan infrastruktur demi kemudahan penduduk kampung.
Harden turut menzahirkan penghargaan kepada lapan JKKK Melayu atas kerjasama menjayakan program tersebut yang disertai kira-kira 400 hadirin.
Majlis turut diisi dengan penyampaian insentif galakan pelajar, penyerahan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM110,000 kepada 17 pertubuhan, selain persembahan Zikir Bardah, Tarian Zapin, Line Dance lagu Raya serta cabutan nama bertuah yang menambah kemeriahan sambutan.
Oleh Adi Safarman