BINTULU: Pembangunan bola sepak di Bintulu perlu terus diperkasakan menerusi kerjasama semua pihak dengan memberi penekanan terhadap pembangunan bakat di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, bola sepak bukan sekadar sukan, malah menjadi medium menyatukan masyarakat serta membentuk sahsiah, disiplin dan semangat kesukanan dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya, program yang melibatkan pemain profesional mampu memberi inspirasi kepada golongan muda untuk terus aktif dalam sukan tersebut.
“Program seperti ini memberi peluang kepada peminat bertemu secara bersemuka dengan pemain profesional.
“Saya tidak mahu mereka hanya melihat pemain di televisyen, sebaliknya bertemu sendiri dengan pemain, mempelajari kemahiran mereka dan seterusnya meningkatkan minat terhadap sukan bola sepak,” katanya ketika ditemui media pada majlis makan malam bersama pemain Kuching City FC (KCFC), di sini.
Beliau berkata, jelajah KCFC ke Miri, Bintulu dan Sibu merupakan satu inisiatif positif yang dapat menyemarakkan lagi minat masyarakat terhadap bola sepak.
Dalam masa sama, beliau berharap kemudahan sukan khususnya padang dan pusat latihan bola sepak di Bintulu terus dipertingkatkan bagi menyediakan persekitaran latihan yang lebih kondusif kepada pemain.
Katanya, kejayaan yang dicapai Bintulu FA dalam pelbagai pertandingan membuktikan daerah itu mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai antara pusat pembangunan bola sepak yang disegani di Sarawak.



