KUCHING: Orang awam diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana perbuatan itu boleh menjejaskan kesihatan, alam sekitar serta boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Menurut Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), individu yang melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, pesalah juga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 sehari bagi kesalahan yang berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
NREB turut menggesa orang awam supaya segera melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa.
“Orang ramai digesa bersama-sama memainkan peranan dalam melindungi alam sekitar demi memastikan Sarawak kekal hijau, bersih dan sihat,” ujarnya.




