
PUTRAJAYA: Urus niaga pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan persendirian individu kini boleh dilakukan melalui Kios Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Sabah dan Sarawak mulai esok.
Dalam kenyataan hari ini, JPJ memaklumkan kemudahan tersebut melibatkan sebanyak 41 unit Kios JPJ, iaitu 21 unit di Sabah dan 20 unit di Sarawak, khusus bagi kenderaan persendirian individu yang didaftarkan mulai 2020 dan ke atas sahaja.
“Bagi kenderaan persendirian individu yang didaftarkan sebelum 2020, pemilik atau wakil masih boleh mendapatkan perkhidmatan pembaharuan LKM melalui kaunter JPJ.
“Selain itu, pembaharuan LKM turut boleh dilakukan menerusi aplikasi MyJPJ, portal mySIKAP JPJ, kaunter bergerak JPJ Mobile dan Rakan Niaga JPJ,” menurut kenyataan itu.
JPJ turut menasihatkan pemilik kenderaan agar memastikan perlindungan insurans kenderaan adalah sah dan masih berkuat kuasa sebelum melakukan urus niaga pembaharuan LKM, kerana sistem akan mengesahkan maklumat tersebut secara automatik semasa transaksi dilakukan di Kios JPJ.
Menurut kenyataan itu, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha JPJ untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta memudahkan urusan orang ramai melalui digitalisasi urus niaga JPJ.
“Menerusi penggunaan kios layan diri ini, pengguna dapat melaksanakan urus niaga pembaharuan LKM secara kendiri dan pantas tanpa perlu beratur di kaunter,” menurut kenyataan itu.
JPJ komited untuk terus memperluas akses kepada perkhidmatan digital demi kemudahan rakyat, selaras aspirasi transformasi perkhidmatan awam ke arah pendigitalan menyeluruh, seterusnya merealisasikan penyampaian perkhidmatan lebih cekap.– Bernama