Malaysia pertingkat perdagangan halal dengan Afrika

Facebook
WhatsApp

NEW DELHI:  Malaysia berhasrat untuk mempertingkat hubungan perdagangan halal dengan negara-negara Afrika susulan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan ke Algeria, salah satu ekonomi utama rantau tersebut.

Malaysia menekankan minatnya untuk meningkatkan kerjasama dengan rakan kongsi Afrika dalam pelbagai industri halal pada Forum Kepimpinan Ekonomi Halal (HELF) 2025 yang diadakan di Algiers baru-baru ini.

Acara itu diadakan bersempena dengan Mesyuarat Tahunan Bank Pembangunan Islam (IsDB) dan Forum Sektor Swasta.

“Kami mengadakan perbincangan mengenai keperluan pembinaan kapasiti dan latihan teknikal dengan Malaysia menawarkan pemindahan kepakaran dan pengetahuan untuk membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan badan pensijilan tempatan,” kata Duta Besar Malaysia ke Algeria Rizany Irwan Muhamad Mazlan kepada Bernama.

Dianjurkan bersama oleh Halal Development Corporation (HDC) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia, IsDB dan Halal Products Development Company  (HPDC), anak syarikat Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi, forum berprofil tinggi itu mengiktiraf kepentingan strategik Afrika dalam ekonomi halal global yang luas.

Eksport halal Malaysia ke Algeria pada 2024 melonjak 24 peratus mencecah RM156.3 juta dengan segmen utama ialah makanan dan minuman, kosmetik, bahan disahkan halal dan barangan berasaskan minyak sawit, kata Rizany pada forum itu.

“Peserta menggesa wujudkan lebih banyak kerjasama awam-swasta dan dialog berterusan untuk memajukan integrasi ekonomi halal, mereka memuji Malaysia kerana mendahului dalam sektor halal global,” katanya.

“Malaysia komited untuk mengukuhkan kerjasama dengan Algeria dan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) lain untuk menambah baik rantaian bekalan halal, meningkatkan integrasi perdagangan dan menyokong pembangunan sosioekonomi bersama,” katanya.

Memupuk keusahawanan dan menggalakkan inovasi dilihat penting untuk membina rantaian bekalan halal berdaya tahan dengan peserta mencadangkan penubuhan zon industri halal untuk menambah baik kapasiti pengeluaran serantau dan daya saing pasaran dunia.

Afrika dilihat mempunyai potensi besar sebagai pasaran dan pangkalan pengeluaran dalam perniagaan halal global.

Rizany berkata topik agenda utama termasuk pengiktirafan bersama terhadap pensijilan halal, meningkatkan kemudahan perdagangan Malaysia-Afrika Utara, pelaburan dalam infrastruktur logistik dan sistem sokongan untuk PKS dalam perniagaan halal.

Ketua Pusat Kecemerlangan IsDB Samer Elesawi menjadi moderator forum berkenaan, ia dihadiri lebih 300 pihak berkepentingan mewakili sektor awam dan swasta, institusi kewangan, agensi pembangunan dan penggiat industri halal di negara-negara OIC.

Antara peserta adalah Ketua Pegawai Eksekutif HDC Malaysia Hairol Ariffein Sahari, Pengerusi PT. ILTHABI Rekatama Indonesia Ilham A. Habibie, Ketua Dar Al Halal Group Ltd Nigeria Muhammadu Dikko Ladan, Pengurus Besar Yildiz Holding Turkiye Rohaizad Hassan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Pengarah IsDB untuk amalan global dan perkongsian Issa Faye.– Bernama

Nanta kecewa 17 kerusi DUN baharu mungkin tidak sempat digunakan PRN akan datang

PETRA JAYA: Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Alexander Nanta Linggi kecewa kelewatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan proses persempadanan semula membabitkan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN). Menteri Kerja Raya itu berkata, berikutan itu kemungkinan besar 17 kerusi baharu itu tidak sempat digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. “Penambahan 17 kerusi baharu ini bukan sahaja penting untuk digunakan pada PRN akan datang, malah menjadi asas kepada usaha memperkukuh kedudukan Sarawak di Parlimen menerusi pertambahan kerusi Parlimen pada masa depan. “Pertambahan kerusi DUN itu mempunyai implikasi besar terhadap usaha Sarawak dan Sabah mendapatkan semula satu pertiga perwakilan di Dewan Rakyat bagi melindungi kepentingan kedua-dua wilayah. “Apabila kita mempunyai sedikit lebih daripada satu pertiga kerusi, sebarang pindaan Perlembagaan atau undang-undang yang melibatkan kepentingan Sarawak dan Sabah tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Ahli Parlimen dari kedua-dua wilayah ini. “Itulah implikasi besar penambahan kerusi ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Hari Integriti dan Kecemerlangan Industri Pembinaan Sarawak 2026 (IECONS 2026) di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di sini, hari ini. Laporan Utusan Sarawak hari ini memetik sumber sebagai berkata bahawa SPR belum lagi menetapkan tarikh sebenar untuk mempamerkan cadangan peta persempadanan semula kawasan DUN Sarawak meskipun telah memohon untuk menggunakan ruang di pejabat majlis perbandaran dan pejabat daerah bagi tujuan itu menerusi surat bertarikh 25 Jun lalu. Sidang Khas DUN pada 7 Julai tahun lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang memperuntukkan penambahan sebanyak 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN Sarawak meningkat daripada 82 kepada 99 – terbesar berbanding negeri lain di Malaysia. Nanta bersetuju dengan pandangan Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa proses persempadanan semula oleh SPR dimulakan terlalu lewat, sekali gus menimbulkan kemungkinan 17 kerusi baharu itu tidak sempat digunakan pada PRN akan datang. “Saya bersetuju dengan pandangan Dato Sri Abdul Karim kerana nampaknya proses itu tidak sepatutnya ditangguhkan sehingga ke tahap ini. “Implikasinya bukan sekadar kita mahu pertambahan 17 kerusi itu, tetapi lebih penting ia menjadi asas untuk meningkatkan jumlah kerusi DUN daripada 82 kepada 99 sebelum kita menambah lagi kawasan Parlimen pada masa hadapan,” katanya. Beliau berkata, harapan sebelum ini ialah supaya 17 kerusi baharu itu dapat digunakan pada PRN akan datang sebelum dijadikan asas bagi pertambahan kerusi Parlimen pada masa depan. “Namun nampaknya kita mungkin tidak dapat menggunakan 17 kerusi itu pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya. Mengulas tempoh lebih setahun yang diambil SPR untuk memulakan proses persempadanan semula selepas usul penambahan kerusi diluluskan DUN Sarawak, Nanta berkata beliau tidak mahu membuat spekulasi mengenai punca kelewatan tersebut. “Kita tidak tahu proses yang perlu mereka lalui, tetapi dalam tempoh lebih setahun itu sepatutnya ia boleh diselesaikan. “Di mana berlakunya kelewatan itu saya tidak mahu membuat spekulasi. Harapan kita memang mahu menggunakan 17 kerusi itu pada pilihan raya akan datang, namun nampaknya ia mungkin tidak menjadi kenyataan,” katanya. Sementara itu, mengulas cadangan mewujudkan kerusi DUN Melekun di bawah Parlimen Kapit, Nanta berkata beliau mengalu-alukan bukan sahaja cadangan tersebut, malah keseluruhan 17 kerusi baharu yang dicadangkan. “Bukan hanya Melekun, saya mengalu-alukan kesemua 17 kerusi itu jika dapat diwujudkan. “DUN Sarawak telah meluluskan usul berkenaan dan kini cadangan itu perlu melalui proses seterusnya di peringkat Persekutuan sebelum dapat dilaksanakan,” katanya. Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai senarai penuh cadangan kawasan baharu yang tular kerana belum melihat dokumen berkenaan.