
LUNDU: Seorang lelaki berusia 40 tahun cedera selepas lori tiga tan yang dipandunya terbabas ke dalam semak di kawasan Felda Sempadi 4, di sini, tengah hari tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.09 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu digerakkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan di tempat kejadian pada 12.48 tengah hari, didapati kemalangan melibatkan lori tiga tan yang terbabas ke dalam semak.
“Seorang mangsa lelaki dewasa tidak dapat keluar sendiri akibat mengalami kesakitan di bahagian belakang badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pasukan bomba kemudian bertindak melakukan size up dan mengeluarkan mangsa menggunakan papan kecemasan sebelum menghantarnya ke Hospital Lundu dengan menaiki jentera EMRS.
Operasi penyelamatan diketuai Komander Operasi, Khaizul Buang bersama anggota BBP Lundu dan ditamatkan sepenuhnya 1.00 petang setelah keadaan disahkan selamat.