Pemanasan global dijangka lepasi had 1.5 darjah Celsius – PBB

Facebook
WhatsApp
Gelombang haba ekstrem semakin kerap berlaku di seluruh dunia susulan perubahan iklim, dengan pemanasan global dijangka melepasi had 1.5 darjah Celsius yang ditetapkan dalam Perjanjian Paris dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

NAIROBI: Pemanasan global dijangka melepasi had 1.5 darjah Celsius yang ditetapkan dalam Perjanjian Paris dalam tempoh beberapa tahun akan datang, menurut laporan yang dikeluarkan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) pada Rabu, lapor Xinhua.

Walaupun dalam senario paling optimistik, peningkatan suhu dijangka memuncak pada 1.8 darjah Celsius lebih tinggi berbanding paras praindustri, menurut laporan itu, sambil memberi amaran bahawa cuaca ekstrem yang semakin buruk dan kehilangan ekosistem akan mengancam kesihatan, keselamatan makanan, infrastruktur serta ekonomi.

“Tiada hasil yang baik sekiranya peningkatan suhu kekal melebihi 1.5 darjah Celsius,” kata Pengarah Eksekutif UNEP Inger Andersen.

“Di seluruh dunia, gelombang haba ekstrem sudah membuktikan bahawa kesan perubahan iklim akan berlaku lebih cepat, memberi kesan lebih buruk dan berpanjangan — meragut lebih banyak nyawa serta menyebabkan gangguan yang lebih serius.”

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan bahawa masih ada kemungkinan untuk menurunkan suhu dan mencapai matlamat global Perjanjian Paris menerusi laluan “melangkaui, memuncak dan menurun”, dengan peningkatan suhu pada paras kemuncak diminimumkan melalui pengurangan pelepasan gas rumah hijau secara segera dan berterusan.- Bernama-Xinhua