
JOHANNESBURG: Pemain tengah Afrika Selatan, Jayden Adams, yang mewakili negaranya pada Piala Dunia FIFA 2026, meninggal dunia pada usia 25 tahun, hari ini.
Menteri Sukan Afrika Selatan, Gayton McKenzie, mengesahkan berita itu menerusi satu kenyataan, namun tidak mendedahkan punca kematian pemain berkenaan.
“Saya amat terkejut dan berdukacita menerima berita pemergian Jayden Adams. Bola sepak Afrika Selatan telah kehilangan salah seorang bakat muda paling menyerlah,” katanya.
Sementara itu, Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) turut merakamkan ucapan takziah menerusi platform X dengan menyatakan bahawa dunia bola sepak telah kehilangan salah seorang pemainnya.
Polis mengesahkan siasatan telah dibuka selepas mayat seorang lelaki berusia 25 tahun ditemukan di sebuah rumah di Schotschekloof, kawasan pinggir bandar Cape Town, pada pagi hari ini. Bagaimanapun, pihak berkuasa masih menyiasat punca kejadian.
Adams beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan Afrika Selatan di Piala Dunia 2026, sekali gus membantu pasukan itu mara ke pusingan 32 terbaik buat kali pertama, namun tidak diturunkan ketika tewas kepada Kanada pada peringkat kalah mati.
Beliau juga merupakan anggota skuad Afrika Selatan yang menamatkan saingan di tempat ketiga Piala Negara-Negara Afrika 2024 di Côte d’Ivoire.
Dilahirkan di Cape Town, Adams memulakan karier menerusi akademi Stellenbosch FC sebelum menjadi pemain pertama keluaran akademi kelab itu yang menandatangani kontrak profesional pada Ogos 2020.
Sepanjang bersama Stellenbosch FC, beliau membuat 139 penampilan dan membantu kelab itu menjuarai kejohanan Carling Knockout pada 2023 sebelum menyertai Mamelodi Sundowns pada Januari 2025.
Bersama Mamelodi Sundowns, Adams memenangi kejuaraan Liga Perdana Afrika Selatan serta Liga Juara-Juara CAF.
Pemergian beliau berlaku kurang sebulan selepas kehilangan neneknya, yang meninggal dunia sehari sebelum aksi peringkat kumpulan menentang Republik Czech di Piala Dunia. Walaupun sedang berdepan kehilangan itu, Adams tetap diturunkan dan beraksi penuh komitmen demi negaranya. – AFP