
MEXICO CITY: Jurulatih Mexico Javier Aguirre dan para pemainnya memulangkan jam tangan mewah yang dihadiahkan bintang YouTube Amerika Syarikat (AS) Stephen Deleonardis, menurut kenyataan pasukan kebangsaan itu menerusi platform media sosial X pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Atas persetujuan bersama, para pemain kami memutuskan untuk memulangkan jam tangan yang dihadiahkan oleh pencipta kandungan itu atas inisiatifnya sendiri,” menurut kenyataan bersama tuan rumah bersama Piala Dunia FIFA 2026 itu.
Deleonardis dilaporkan menghadiahkan jam tangan mewah buatan Switzerland bernilai lebih AS$1 juta (kira-kira RM4.09 juta) kepada skuad Piala Dunia Mexico dan jurulatih Aguirre.
Menurut laporan media tempatan, Deleonardis yang lebih dikenali sebagai “Steve Will Do It” mengunjungi kem latihan pasukan itu di selatan ibu negara.
Akhbar Record di Mexico melaporkan para pemain “terkejut dan teruja” dengan hadiah berkenaan. Deleonardis juga dilaporkan bertaruh sebanyak AS$2 juta bahawa Mexico akan menang dalam perlawanan pusingan 32 terbaik menentang Ecuador, yang berkesudahan dengan kemenangan 2-0 memihak Mexico.
Mexico dijadual menentang England pada pusingan 16 terbaik di Stadium Azteca pada Ahad.- Bernama-dpa