
VIENNA: Seorang peluncur papan salji warga Jerman maut akibat runtuhan salji di barat Austria, menurut polis pada hari ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Lelaki berusia 49 tahun itu sedang meluncur papan salji menuruni cerun bersama dua lelaki lain di kawasan ski Kuhtai di wilayah Tyrol pada Rabu apabila satu lapisan salji runtuh.
Dua daripada peluncur papan salji itu terperangkap dalam timbunan salji yang menuruni cerun berkenaan, kata polis.
Seorang daripada mereka ditemukan terperangkap dalam salji dengan kepalanya berada di luar salji, manakala lelaki berusia 49 tahun dari Berlin itu tertimbus dalam runtuhan salji berkenaan.
Peluncur papan salji berkenaan tidak membawa peralatan menyelamat runtuhan salji, dan dua jam setengah berlalu sebelum pasukan penyelamat berjaya mengesan lelaki itu di bawah timbunan salji, yang pada ketika itu telah meninggal dunia, menurut polis.- Bernama-dpa