Angin kencang: 246 penerbangan dibatalkan, lebih 3,000 penumpang terkandas di Jeju

Facebook
WhatsApp
RIBUAN penumpang terkandas di Jeju selepas ratusan penerbangan dibatalkan berikutan cuaca ekstrem. Foto Yonhap

SEOUL: Angin kencang dan hujan lebat melanda Pulau Jeju di selatan Korea Selatan hari ini, menjejaskan operasi penerbangan dan menyebabkan ribuan penumpang terkandas, lapor Agensi Berita Yonhap, memetik pihak berkuasa.

Amaran angin kencang telah dikeluarkan di seluruh pulau itu apabila kelajuan angin maksimum mencecah 28.9 meter sesaat di Pulau Udo dan 27.2 meter sesaat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju, menurut kerajaan wilayah dan Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA).

Sehingga 7.00 malam, sebanyak 246 penerbangan telah dibatalkan, termasuk 12 laluan antarabangsa, manakala 83 penerbangan lagi mengalami kelewatan.

Berikutan amaran ombak tinggi, semua perkhidmatan feri penumpang antara Jeju dan pulau berhampiran telah digantung.

Kerosakan kemudahan serta kejadian penduduk terputus hubungan dengan kawasan lain turut dilaporkan di seluruh wilayah itu.

Sebagai tindak balas, kerajaan wilayah Jeju mengaktifkan sistem respons kecemasan Tahap 1 pada awal hari berkenaan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju turut mengeluarkan amaran tahap “waspada” bagi membantu penumpang terkandas dipindahkan ke tempat penginapan serta mengambil pelbagai langkah keselamatan lain.

Agensi cuaca itu memberi amaran hujan lebat antara 20 hingga 30 milimeter sejam dijangka berterusan sehingga awal Jumaat, selain menggesa orang ramai supaya berwaspada terhadap keselamatan kemudahan dan kemungkinan berlakunya kemalangan.- Bernama-Yonhap

Gempa bumi sederhana di Laut Bali Indonesia

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.2 dikesan berlaku di Laut Bali, Indonesia pada 2.10 pagi tadi.  Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi hantaran

SEDAR rasmi tukar nama kepada WAWASAN

KUCHING: Parti Sedar Rakyat (SEDAR) kini secara rasmi menggunakan nama Parti Wawasan Rakyat (WAWASAN) selepas mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan