
SAMBIL memasak, sambil melawak. Bayangkan betapa gamatnya suasana di dapur bila pelawak terkenal tanah air meluangkan masa untuk menyediakan hidangan kegemaran untuk dikongsikan dengan peminat setia mereka.
Sepanjang bulan Ramadan ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) teruja menyiarkan program masakan 26 episod diberi tajuk Dapur Pecah Perut mulai bersiaran di saluran Okey, setiap Isnin hingga Sabtu, 1.00 tengah hari. Menariknya ia juga turut disiarkan menerusi aplikasi RTMKlik.
Dalam suasana penuh gelak tawa, pelawak popular termasuklah Mark Adam, Issey, Ropie, Atu Zero, Nizam Jentik-Jentik dan Chiwan mencabar diri memasak hidangan sahur, moreh, dan berbuka puasa bersama seorang cef selebriti terkenal, Cef Deedee.

Pengisian program ini menonjolkan perbezaan berbanding program masakan yang lain kerana dalam episod satu hingga 13, artis undangan akan menyelesaikan cabaran memasak di studio yang mana 13 pelawak ini akan pergi ke sebuah studio dan menyahut cabaran memasak tiga jenis hidangan untuk sajian sahur, moreh dan berbuka.
Penonton pastinya tidak sabar menantikan aksi mereka di Bilik Berdengkur, selebriti komedi tersebut akan terlambat bangun sahur dan hanya berbaki hanya 15 minit sebelum masuk waktu subuh.

Pelawak memohon bantuan cef untuk menyediakan hidangan sahur dalam waktu yang singkat agar mereka dapat bersahur sebelum waktu imsak.
Menyusul segmen kedua, pelawak akan pergi ke sebuah gerai bazar Ramadan untuk belajar dan membeli makanan yang popular untuk moreh.
Diakhiri segmen ketiga, pelawak akan dibantu oleh cef untuk memasak menu berbuka puasa di Dapur Pecah, yang pasti akan diwarnai pelbagai kerenah lucu serta kesilapan dilakukan sepanjang sesi memasak dan memilih barang sebelum mereka berbuka puasa bersama.
Nantikan pengisian menarik dalam episod 14 hingga 26, selebriti ini yang berperanan sebagai hos akan ke lokasi menarik untuk menjelajah di samping mencari menu berbuka puasa popular di kawasan itu.
Mereka akan mempelajari cara memasak makanan itu di sebuah gerai pilihan lalu mengambil alih perniagaan tersebut untuk satu hari.
Saksikan juga bagaimana aksi pelawak terlibat akan berusaha sedaya upaya berniaga di gerai itu untuk mengutip dana bagi sebuah badan kebajikan. Di saat saat getir muncul cef untuk membantu mereka berniaga. – RTM