
KUCHING: Usaha Persatuan Kebajikan Masyarakat Asal Engkilili, Lubok Antu dan Skrang (PELASAR) dalam memperkasa golongan belia Dayak serta memelihara warisan budaya masyarakat itu mendapat pengiktirafan daripada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Menurut beliau, PELASAR bukan sahaja menghimpunkan komuniti Dayak dari pelbagai kawasan, malah berperanan sebagai jambatan antara generasi dan benteng mempertahankan identiti budaya di tengah arus pemodenan.
“PELASAR memberi ruang kepada anak-anak muda untuk terus berpegang kepada akar budaya mereka walaupun dunia semakin maju.
Kita tidak boleh lupa asal usul, kerana di situlah letaknya jati diri kita sebagai anak Sarawak,” katanya.
Ucapan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kua Jack Seng, yang mewakili beliau pada majlis Ngiling Bidai PELASAR 2025 yang berlangsung di PCC Demak, malam tadi.
Dalam majlis tersebut, Dr Sim turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada PELASAR sebagai dana tambahan untuk melaksanakan lebih banyak aktiviti, terutamanya bagi menjaga kebajikan anak-anak perantauan dari kawasan Engkilili, Lubok Antu dan Skrang.
Beliau menyifatkan sambutan Ngiling Bidai sebagai simbol perpaduan dan kesyukuran masyarakat Dayak dalam meraikan hasil tuaian serta kehidupan yang harmoni.
“Budaya dan adat resam perlu terus dipelihara. Jangan malu dengan warisan sendiri.
Gunakan ilmu untuk memimpin, dan jadikan akar budaya tempat kita berpijak,” ujarnya.
Dr Sim juga menekankan bahawa semangat kesatuan dan penerimaan inklusif antara kaum menjadi asas keharmonian Sarawak yang wajar dicontohi oleh seluruh negara.
Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan Sarawak akan terus menyokong usaha memartabatkan belia dan budaya, melalui pelbagai inisiatif seperti pembangunan luar bandar, latihan kemahiran dan bantuan kebajikan.
“Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerajaan negeri komited memastikan semua kaum tidak ketinggalan dalam pembangunan dan tetap teguh dengan identiti masing-masing,” tambahnya.
Majlis turut menyaksikan pelancaran lagu tema rasmi PELASAR, ciptaan Matthius Mambang dan Jesley Jabu dengan lirik oleh Jugah Muyang.
Turut hadir Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, wakil rasmi Timbalan Premier Kua Jack Seng, Penaung PELASAR Jugah @ Tambat Muyang, barisan penasihat Gemong Batu dan Mawang Kayan serta Pengerusi PELASAR Brown Sang Lagan.
Oleh Amanda L.