
KUALA LUMPUR, 30 Jun -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) bersama Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (kiri) dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir (kanan) berkenan berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-259 di Istana Negara, hari ini. Turut berangkat Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA KUALA LUMPUR, June 30 -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (middle) with Raja of Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (left) and Yang Dipertuan Besar of Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir (right) attending the second day of the 259th Meeting of the Conference of Rulers at Istana Negara, today. Also present Sultan of Perak Sultan Nazrin Shah. --fotoBERNAMA (2022) COPYRIGHTS RESERVED
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-259 yang bersidang dua hari sejak kelmarin di Istana Negara, antaranya membincangkan pelantikan beberapa jawatan termasuk Timbalan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Pengerusi dan Ahli Dilantik Jawatankuasa bawah MKI.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata turut dibincangkan adalah pelantikan Hakim Mahkamah Khas dan Ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), selain beberapa kertas makluman daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta Kementerian Alam Sekitar dan Air.
Selain itu, perkara mengenai calon-calon penerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong Tahun 2022 dan Peraturan-peraturan MKI 2022 turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.
“Majlis juga telah disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan pertahanan negara oleh Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.
“Majlis juga telah mendengar taklimat mengenai Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed,” katanya, dalam kenyataan semalam.
Syed Danial berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berangkat menghadiri hari kedua mesyuarat itu, diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Mesyuarat dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 9 dan 10 Mac lepas yang dipengerusikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
Pada hari pertama mesyuarat, Syed Danial berkata Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri telah berangkat hadir, termasuk Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra dan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim.
— Bernama