KUALA LUMPUR: Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan bahawa pelantikan beliau sebagai Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam tidak seharusnya ditafsirkan hanya sebagai usaha untuk memastikan penyertaan Sarawak dalam dasar hijau Persekutuan.
Fadillah, yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri menyifatkan pelantikan beliau sebagai penghubungan strategik untuk memanfaatkan dan menggabungkan kekuatan sistem tenaga di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bagi mewujudkan pertumbuhan ekonomi baharu.
“Ini akan memacu Malaysia sebagai hab peralihan tenaga serantau utama dan kuasa tenaga boleh baharu dalam rantau Asean dan Asia. Dengan memanfaatkan kekuatan kolektif, saya berharap dapat memacu peralihan tenaga mampan yang memberi manfaat kepada seluruh negara,” katanya kepada Bernama dalam temu bual, baru-baru ini.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam adalah portfolio baharu yang dipecahkan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang sebelum ini diteraju oleh Nik Nazmi Nik Ahmad yang kini merupakan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam. Kementerian baharu itu diwujudkan sebagai sebahagian daripada fokus kerajaan terhadap tenaga boleh baharu.
Fadillah berkata Sarawak secara konsisten meneraju usaha melaksanakan dasar progresif dan menerima guna teknologi tenaga lestari yang canggih.
Menurutnya, kemajuan negeri itu dalam bidang seperti penggunaan hidrogen, penggunaan dan penyimpanan pemerangkapan karbon, penyimpanan tenaga bateri dan bahan api penerbangan yang lestari, mengatasi inisiatif peringkat Persekutuan dan ini menjadikan Sarawak berada di barisan hadapan dalam inovasi tenaga lestari.
“Contoh utama pendekatan pemikiran ke hadapan Sarawak ialah operasi sistem transit pantas autonomi berkuasa hidrogen yang merevolusikan pengangkutan bandar.
“Penggunaan bas hidrogen untuk hubungan akhir rantaian sistem pengangkutan menunjukkan komitmen Sarawak dalam usaha penyahkarbonan sektor pengangkutan, satu inisiatif yang boleh dicontohi di peringkat persekutuan,” katanya.
Mengenai kuasa nuklear, beliau berkata, kerajaan terbuka untuk menerima penggunaan teknologi penjanaan kuasa yang berdaya saing dari segi kos serta diyakini termasuk tenaga nuklear yang dijana daripada reaktor modular kecil (SMR).
Menurut Fadillah kriteria utama penggunaan tenaga nuklear adalah berkait dengan kapasiti untuk menyediakan penyelesaian tenaga yang bersih, diyakini dan berpatutan.
Semasa menilai sumber penjanaan tenaga yang berpotensi, kerajaan menjalankan proses penilaian menyeluruh yang merangkumi beberapa faktor, termasuk meneliti kebolehlaksanaan dan kemampanan jangka panjang pelbagai sumber, mempertimbang daya maju ekonomi, kemajuan teknologi, kelestarian alam sekitar dan spesifikasi teknikal yang diperlukan untuk penyepaduan yang lancar ke dalam grid, katanya.
“Penilaian menyeluruh ini memastikan pertimbangan seimbang dari pelbagai aspek sebelum menentukan kesesuaian dan penggunaan mana-mana teknologi penjanaan kuasa,” kata Fadillah.
Pada Ogos tahun lepas, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata Malaysia tidak menolak penjanaan tenaga nuklear tetapi perlu membuat pertimbangan selanjutnya sebelum menyepadukannya ke dalam sistem tenaga negara. – Bernama