
KUCHING: Pelantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Sarawak tidak dibuat melalui peti undi, sebaliknya menerusi proses saringan dan penelitian yang ketat oleh pihak berkuasa berkaitan, kata Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau menegaskan bahawa sistem pelantikan sedia ada akan terus dikekalkan kerana ia dianggap lebih tersusun dan mampu memastikan individu yang benar-benar layak serta berwibawa dilantik memegang jawatan tersebut.
Menurutnya, calon KMKK perlu memenuhi beberapa kriteria asas termasuk mempunyai tahap pendidikan tertentu, berperwatakan baik, dihormati masyarakat setempat serta mempunyai kefahaman mendalam mengenai komuniti yang dipimpin.
“Pemilihan bukan dibuat secara sewenang-wenangnya. Ia melalui proses merisik dan penelitian oleh pegawai daerah serta residen sebelum nama calon dikemukakan untuk perakuan Setiausaha Kerajaan Negeri dan seterusnya mendapat kelulusan Kabinet negeri,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian ketika mengulas cadangan supaya jawatan KMKK dipilih melalui peti undi di peringkat kampung atau rumah panjang.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun cadangan tersebut boleh dipertimbangkan sebagai pandangan, keputusan akhir tetap tertakluk kepada panel yang ditetapkan kerajaan negeri bagi memastikan kestabilan dan keseragaman pentadbiran di peringkat akar umbi.
“Kerajaan negeri mahu memastikan mereka yang dilantik benar-benar berupaya menjadi penghubung berkesan antara rakyat dan kerajaan, bukan sekadar populariti semata-mata,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan terhadap penetapan had umur bagi jawatan berkenaan bagi memastikan berlakunya pembaharuan kepimpinan dari semasa ke semasa dan mengelakkan jawatan tersebut disandang terlalu lama tanpa suntikan idea baharu.
Selain aspek pelantikan, Abdul Karim memaklumkan bahawa elaun KMKK juga telah dinaikkan selaras dengan keperluan semasa dan peningkatan tanggungjawab yang digalas.
Katanya, peranan KMKK kini semakin mencabar termasuk mengurus isu kebajikan, pembangunan setempat, penyelarasan bantuan kerajaan serta menjadi rujukan utama masyarakat dalam pelbagai perkara pentadbiran dan sosial.
“Dengan tanggungjawab yang semakin besar, adalah wajar elaun mereka diselaraskan supaya setimpal dengan peranan yang dimainkan,” katanya lagi.
Beliau berharap masyarakat memahami bahawa sistem pelantikan sedia ada bertujuan memastikan kepimpinan di peringkat komuniti kekal stabil, berintegriti dan selari dengan dasar pentadbiran kerajaan negeri.
Oleh Shahrul Qaizat