
ANKARA: Perkhidmatan kereta kuda di Central Park, bandar raya New York digantung sementara berikutan kematian seorang pelancong berusia 18 tahun, lapor Anadolu Ajansi, memetik media tempatan semalam.
Penggantungan itu diumumkan oleh Kesatuan Pekerja Pengangkutan (TWU), yang memaklumkan perkhidmatan akan dihentikan sehingga sekurang-kurangnya hingga Selasa sementara prosedur keselamatan dikaji semula, menurut ABC News.
Menurut laporan itu, Romanch Mahajan, 18, pelancong dari India, sedang menaiki kereta kuda bersama keluarganya pada Rabu apabila kuda itu tiba-tiba berlari sendiri selepas pemandu turun untuk mengambil gambar.
Kereta kuda terbabit melanggar kereta kuda lain dan terbalik, kata pegawai.
Mahajan kemudiannya meninggal dunia di hospital, manakala ahli keluarga lain mengalami kecederaan ringan.
“Hati kami bersama keluarga Romanch Mahajan,” kata Naib Presiden Pentadbiran 100 Tempatan TWU Alexander Kemp.
“Tiada kata-kata yang dapat menyatakan betapa besarnya tragedi ini. Kami sedang mengambil langkah pertama ke arah menangani isu keselamatan,” tambahnya.
Polis berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.
Pemandu kereta kuda berkenaan telah digantung, dan kuda yang terlibat dalam insiden itu telah bersara daripada perkhidmatan, menurut kesatuan itu.
Kemalangan tersebut memperbaharui desakan kumpulan advokasi dan beberapa pegawai yang dilantik supaya larangan menaiki kereta kuda di taman itu dikuatkuasakan secara kekal.
Speaker Majlis Bandaraya New York, Julie Menin telah mengumumkan pembentangan pada Julai mengenai cadangan undang-undang yang akan melarang operasi kereta kuda di taman-taman mulai 2028, menurut laporan itu. – Bernama