DATU Len Talif Salleh menunjukkan pelan Tanjung Manis pada Majlis Perasmian Makmal Review of Tanjung Manis Master Plan di hotel terkemuka, Kuching semalam.• Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Pelan induk baharu bagi Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Tanjung Manis (T-Mega) dijangka siap akhir bulan depan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, cadangan pelan berkenaan yang disemak semula akan dibentangkan kepada Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PKPKS) sebelum diserahkan kepada Lembaga Perancang Negeri (SPA) untuk kelulusan.
Pelan Induk T-Mega yang diluluskan dan dikemaskini akan menjadi panduan untuk melengkapkan usaha pembangunan oleh pelbagai agensi dalam T-Mega, selaras rancangan pembangunan infrastruktur keseluruhan oleh Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) dan kerajaan Sarawak.
“T-Mega dirancang untuk pembangunan aktiviti ekonomi berskala besar bagi melengkapkan usaha kerajaan negeri dalam pembangunan sosioekonomi bagi membawa transformasi luar bandar.
“Ekonomi daripada pelaburan berskala besar akan menyediakan komuniti tempatan peluang pekerjaan dan perniagaan melalui penyertaan dalam industri perhotelan seperti rumah penginapan, dan eko-pelancongan serta dalam pertanian kontrak.
“Pembangunan pemprosesan makanan dan kemudahan pelabuhan di T-MEGA juga melengkapkan inisiatif oleh kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Makmal Pelan Induk Tanjung Manis di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Katanya, dengan lokasi strategik, sistem sungai semula jadi yang sangat baik dan kemudahan logistik Tanjung Manis menjadi ‘Gateway’ (pintu masuk) perdagangan baharu untuk perdagangan antarabangsa.
“Akhirnya, Tanjung Manis akan menjadi pintu masuk import bagi wilayah tengah Sarawak meliputi dari seluruh lembangan Rajang ke Kapit dan kawasan lain,” katanya.
Makmal tersebut dianjurkan oleh SPA dengan kerjasama PKPKS sebagai sekretariat dan ia akan difasilitasi oleh HAPM Consultant Sdn Bhd.
Oleh NUR AIN OTSMAN