TANJUNG MANIS: Pelaksanaan projek pembangunan strategik di Belawai dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan sektor pelancongan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek menaik taraf Tebingan Pantai Belawai bernilai RM161 juta kini berada di peringkat akhir penyediaan reka bentuk sebelum pelaksanaannya dimulakan.
Katanya, pembangunan itu melibatkan kawasan pesisir pantai sepanjang kira-kira dua kilometer bermula dari Pejabat Pengairan dan Saliran sehingga ke Kampung Belawai, dengan penyediaan pelbagai kemudahan awam dan kawasan rekreasi yang lebih moden serta selesa untuk dimanfaatkan oleh penduduk dan pengunjung.
“Usaha ini bukan sekadar memberi wajah baharu kepada Pantai Belawai, malah akan mewujudkan ruang riadah yang lebih sistematik selain dilengkapi pelbagai kemudahan bagi meningkatkan daya tarikan kawasan ini sebagai destinasi pelancongan.
“Projek berimpak tinggi ini dijangka merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat menerusi pertambahan jumlah pengunjung dan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan dalam sektor perniagaan dan perkhidmatan,” katanya
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika merasmikan GP Belawai Siri 1/2026 di Pantai Iftitah Restaurant & Resort, Belawai, semalam.
Tambahnya, kerajaan turut melaksanakan pembinaan struktur pemecah ombak di Tanjung Manat yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM60 juta sebagai langkah jangka panjang bagi menangani masalah hakisan pantai yang semakin serius.
“Pembinaan struktur pemecah ombak sepanjang 700 meter ini amat penting bagi mengurangkan impak ombak besar yang menjadi punca utama hakisan di pesisir Pantai Belawai.
“Terdapat kawasan di seberang Belawai yang kini telah banyak terjejas akibat hakisan sehingga sebahagian tanah berada di dalam kawasan laut dan ia memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan kehilangan tanah yang lebih besar.
“Sehubungan dengan itu, pembinaan pemecah ombak dijangka mampu melindungi tanah milik penduduk daripada terus terhakis, selain memastikan aset awam dan kemudahan infrastruktur yang dibangunkan kerajaan tidak terdedah kepada ancaman ombak,” katanya lagi.
Ujarnya, usaha menangani hakisan pantai bukan sahaja penting bagi melindungi penempatan penduduk, malah memastikan pembangunan yang dirancang di kawasan tersebut dapat dilaksanakan secara mampan tanpa berdepan risiko kerosakan akibat ombak.
Dalam pada itu, Len Talif berkata kerajaan turut merancang membangunkan sebuah padang golf dan hotel di Belawai sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh sektor pelancongan dan menarik lebih ramai pelabur ke kawasan tersebut.
Beliau menegaskan semua perancangan tersebut bukan merupakan projek jangka pendek atau pembaziran, sebaliknya adalah pelaburan strategik yang diyakini mampu merangsang pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta meningkatkan taraf hidup penduduk Belawai dalam jangka panjang
Turut hadir Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab dan Pengarah Kanan, Jabatan Perikanan Laut, Abdul Rahman Abdul Wahab.
Oleh Earl Anek




