
PUTRAJAYA: Pelaksanaan Jaminan Bank ke atas agensi pelancongan yang menjalankan aktiviti pelancongan ke luar negara dan umrah yang sepatutnya berkuat kuasa mulai 15 Mei ini akan ditangguhkan ke 1 Januari 2027.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat susulan konflik di Asia Barat yang memberi kesan terhadap industri pelancongan termasuk operasi dan kedudukan kewangan sebahagian pemain industri.
“Penangguhan itu bagi memastikan pelaksanaan mekanisme ini dapat dilaksanakan secara lebih teratur, berdaya maju dan mengambil kira tahap kesiapsiagaan industri, tanpa menjejaskan matlamat asal kawal selia di bawah perundangan yang sedang berkuat kuasa.
“Keputusan itu juga diambil setelah mengambil kira pandangan dan maklum balas pelbagai pihak berkepentingan termasuk persatuan industri serta merupakan langkah berasaskan kepentingan awam demi mengimbangkan perlindungan terhadap pelancong dan kelangsungan industri,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan MOTAC sentiasa komited dalam memastikan mekanisme perlindungan pengguna dapat dilaksanakan secara menyeluruh, teratur dan tidak menjejaskan kelangsungan industri pelancongan negara.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, MOTAC akan terus memperkukuh usaha dalam memastikan industri pelancongan dan umrah negara berkembang secara mampan, diyakini dan selamat demi menjaga kebajikan serta kesejahteraan pelancong dan jemaah umrah,” maklum kenyataan itu.
MOTAC sebelum ini bercadang untuk mewajibkan pelaksanaan Jaminan Bank bermula 15 Mei ini sebagai salah satu mekanisme penting untuk memperkukuh perlindungan pengguna serta membendung kes penipuan yang sering berlaku dalam urusan pelancongan dan umrah.
Langkah itu juga bertujuan meningkatkan tahap integriti, keyakinan dan profesionalisme dalam industri pelancongan negara. – Bernama