Menerbitkan majalah bukanlah satu tugas mudah, apatah lagi jika jurusan yang diambil di universiti bukan berkaitan dengan bidang penulisan. Namun ia bukan mustahil sekiranya ada kesungguhan serta bimbingan yang betul untuk berbuat demikian.
Inilah yang dilalui oleh 35 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang memilih subteras asas kewartawanan. Di bawah bimbingan fasilitator Sarena Haidir, mereka bertungkus-lumus memerah ilham untuk menghasilkan majalah di bawah projek khas – Apa Kata Wanita.
Projek ini merupakan platform yang memberi pendedahan mengenai kerjaya kewartawanan terutama kepada golongan wanita yang menceburi bidang pekerjaan yang dianggap mencabar tersebut.
Antara objektifnya termasuklah membimbing para pelajar yang terlibat tentang teknik penulisan dari wartawan sebenar, mencungkil bakat terpendam pelajar subteras Asas Kewartawanan dan peserta jemputan, mengetahui kelebihan dan kelemahan mereka di dalam bidang penulisan bahan berita serta memupuk semangat kerjasama berpasukan dan toleransi dalam kalangan pelajar subteras asas kewartawanan bagi menjayakan program ini.
Rata-rata pelajar UNIMAS yang terlibat di dalam projek ini melahirkan rasa seronok, terutama selepas melihat majalah mereka akhirnya diterbitkan. Bagaimana pun, mereka mengakui ia adalah tugas yang mencabar dan memerlukan penelitian rapi.
Bagi pelajar jurusan Ekonomi Perniagaan, Lisah Buranali, 21, dan Nadzirah Mohammad Nani, 23, dari bidang Kejuruteraan Sivil, mereka tanggungjawab menerbitkan majalah agak mencabar kerana ini adalah luar daripada bidang yang mereka diceburi.
“Tetapi saya berasa senang kerana mendapat pengetahuan baharu. Cik Sarena banyak memberikan tunjuk ajar dalam penghasilan artikel dan membuat saya lebih memahami dalam penulisan artikel serta mengembangkan lagi idea saya,” kata Lisah.
Malah beliau melihat Kelas Kewartawanan sebagai satu inisiatif yang baik bagi mencungkil bakat dan minat dalam diri pelajar, sekali gus memberikan kemahiran selain daripada bidang yang diceburi.
“Bagi projek khas pula, ia membuatkan pelajar dan remaja membuka mata tentang kehidupan seorang wanita berkerjaya. Projek khas juga memberikan pelajar pengalaman baharu dalam menghasilkan artikel dari idea sendiri,” tambah Nadzirah.
Pendapat mereka juga dipersetujui oleh Aldryn Banyie Baja, 25, dari jurusan Bioteknologi Sumber yang beranggapan pembuatan majalah adalah satu tugas yang sukar.
“Ini kerana majalah haruslah diterbitkan dengan teliti terutama dari segi muka depan berserta isi kandungan sehinggalah muka surat yang terakhir. Salah satu masalah yang dihadapi semasa pembuatan majalah adalah pengolahan artikel kerana artikel haruslah berkaitan dengan tema yang dipilih. Namun begitu, dengan tunjuk ajar daripada Cik Sarena, pengolahan artikel berjaya ditulis menurut kesesuaian tema,” kata beliau.
Mengenai kelas asas kewartawanan pula, beliau melihat ia sebagai satu kelas yang sangat bermanfaat bagi mereka yang mempunyai minat dalam penulisan dan penghasilan berita atau artikel.
“Selain dari itu, kelas ini juga mampu menyediakan para pelajar untuk menjadi penulis yang profesional tanpa mengira latar belakang jurusan yang diambil. Projek khas yang diadakan semasa kelas ini berlangsung juga memberi banyak ilmu kerana panel-panel yang dijemput adalah semua yang berpengalaman. Segala kritikan yang membangun telah pun diambil sebagai iktibar untuk penambahbaikan,” tambah beliau.
Oleh HAINI DARANI