CENDERAMATA… Vincent Liong (tiga kiri) menyerahkan cenderamata kepada YDP PIBG SMK St Anthony, Maureen
Chua.
TIGA pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Anthony yang memperoleh keputusan cemerlang iaitu semua A (10A+) dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2020.
Keputusan cemerlang tersebut melayakkan mereka menerima Sijil Hadiah Yayasan Sarawak dan Insentif PIBG (2020).
Pelajar tersebut ialah Brenda Tiong You Zhen, Vincent Ling Wei Xian dan Zulmajdi Zainuddin.
Turut menerima Sijil Hadiah Yayasan Sarawak ialah 13 pelajar yang mencatat keputusan semua 10A dan 5 pelajar yang memperoleh semua A di SPM 2020.
Selain itu turut menerima sijil dan insentif tersebut ialah 8 pelajar memperoleh 9A, 9 pelajar yang memperoleh 8A dan 10 pelajar yang memperoleh 7A.
Disamping itu, 23 pelajar cemerlang SPM yang memperoleh 6A dan 22 pelajar yang memperoleh 5A turut disumbangkan Insentif PIBG (2020).
Kesemua pelajar cemerlang ini menerima sijil dan insentif di Majlis Penyampaian Sijil Hadiah Yayasan Sarawak & Insentif PIBG Murid Cemerlang SPM & STPM 2020 bertempat di salah sebuah hotel, baru-baru ini.
Hadir untuk merasmikan majlis dan menyerahkan sijil serta insentif ialah Penghulu Huang Tiong Kang selaku wakil kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N45 Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Di majlis yang sama, 5 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.25 dan keatas turut menerima Insentif PIBG (2020).
Pelajar tersebut ialah Chan Choi Liang dengan keputusan 1A 2B+ 1B (PNGK 3.42), Wong Li Ling dengan keputusan 1A 2B+ 1B (PNGK 3.42), Jocelynn Wong Zhong Na dengan keputusan 1A- 2B+ 1B (PNGK 3.33), Tiffany Loh Hui Nee dengan keputusan 2A- 1B 1B- (PNGK 3.25) dan Wennie Wong Leh Ding dengan keputusan 1A- 2B+ 1B- (PNGK 3.25).
SMK St Anthony, Sarikei menduduki tempat ke-10 dari 193 buah sekolah menengah di Sarawak dari segi prestasi pencapaian SPM.
Pengetua SMK St Anthony, Vincent Liong Shou Chuan berkata, lebih membanggakan kesemua pelajar Tingkatan 6 aliran Sains sekolah tersebut yang memohon memasuki universiti berjaya memasuki universiti awam tempatan.
“Kejayaan sesebuah sekolah bergantung kepada kerjasama dan usaha guru, pelajar, ibu bapa.
“Selain itu, ia juga bergantung kepada sokongan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), komuniti termasuk Lembaga Pengurusan Sekolah, Persatuan Alumni Sekolah, pihak swasta, dan wakil rakyat setempat,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.
Tambahnya, pembangunan insan secara holistik amat dititikberatkan oleh pihak sekolah.
“Pihak sekolah amat menitikberatkan pembangunan insan secara holistik, iaitu insan yang mencapai kecemerlangan akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah demi memastikan pelajar-pelajar dapat meneruskan pelajaran yang lebih tinggi dan memberikan sumbangan kepada pembangunan negara.
“Syabas dan tahniah kepada kesemua pelajar yang Sijil Hadiah Yayasan Sarawak dan insentif PIBG.
“Semoga ia menjadi pendorong untuk lebih berjaya di masa depan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua PIBG SMK St Anthony, Maureen Chua Geck Liang berkata, majlis tersebut merupakan satu penjelmaan kesepaduan yang akrab terjalin antara guru, pelajar dan ibu bapa demi merealisasikan aspirasi dan impian para pelajar untuk mencipta kecemerlangan.
Katanya, ia merupakan satu simbolik kejayaan semua pihak, iaitu individu atau entiti yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di sebalik jejak tapak kecemerlangan yang telah dirintis oleh mereka.
“Majlis sebegini adalah kayu ukur kepada prestasi pencapaian pelajar. Bagi pelajar yang berjaya meraih anugerah cemerlang, pihak PIBG ingin mengucapkan syabas dan tahniah.
“Semoga penghargaan sebegini akan meniupkan semangat yang lebih kepada anak-anak yang berjaya dan kepada semua murid-murid di sekolah ini umumnya,” katanya.
Maureen turut mengucapkan terima kasih terutama sekali kepada Pengetua SMK St Anthony, Vincent Liong Shou Chuan kerana telah berjaya menerajui SMK St Anthony ke arah kecemerlangan akademik dan kemantapan sahsiah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPP) melahirkan modal insan yang berkualiti dari segenap aspek.
“Selain itu, tidak dinafikan sumbangan tenaga, idea dan curahan ilmu pengetahuan dari guru-guru sehingga menjadikan pencapaian pelajar dalam peperiksaan meningkat dari setahun ke setahun.
“Selaku YDP PIBG, pandangan dan pemikiran membina ke arah membantu pihak sekolah dalam meningkatkan potensi anak-anak kita khususnya dalam bidang akademik dan dunia pendidikan amat diperlukan.
“Kita yakin, tanpa sahsiah dan disiplin yang tinggi, pasti kejayaan dan kecemerlangan tidak akan tercapai,” tambahnya lagi.