Pelaburan RM3.2 bilion bakal ubah Baram jadi hab ekonomi baharu

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
UCAPAN… Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap ketika merasmikan Regata Baram 2026 di Dataran Marudi, hari ini. 

MARUDI: Baram bakal muncul sebagai hab pertumbuhan ekonomi baharu di utara Sarawak menerusi pelaksanaan projek infrastruktur bernilai RM3.2 bilion yang dijangka membuka lebih banyak peluang dalam sektor pelancongan, pertanian moden dan pelaburan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan rangkaian jalan raya dan kemudahan pelabuhan yang sedang dilaksanakan merupakan pelaburan strategik kerajaan bagi merancakkan ekonomi jangka panjang di kawasan itu.

Menurutnya, jalan raya yang menghubungkan Miri, Marudi, Long Terawan, Long Panai dan Long Lama akan meningkatkan kesalinghubungan, sekali gus mengubah landskap pembangunan Baram.

“Kos pembinaan jalan ini mencecah RM3.2 bilion. Kita berani melabur kerana kita tahu dalam jangka panjang akan ada pulangan daripada pelaburan ini.

“Jalan ini akan membuka kawasan ekonomi Baram, bukan sahaja melalui sektor pelancongan berasaskan budaya tetapi juga pertanian moden yang mampu menghasilkan komoditi untuk pasaran eksport,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Regata Baram di Dataran Marudi, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut merancang membangunkan sebuah pelabuhan laut di Miri yang dijangka menjadi pemangkin kepada kemasukan kapal persiaran, sekali gus meningkatkan jumlah pelancong ke Baram.

Menurutnya, siapnya jambatan yang menghubungkan Miri dan Marudi serta pembangunan rangkaian jalan baharu akan menjadikan Baram lebih mudah diakses berbanding sebelum ini.

“Baram tidak lama lagi akan menjadi Baram baharu yang akan kita bangunkan. Infrastruktur yang sedang dibina akan menjadi asas kepada pembangunan ekonomi kawasan ini,” katanya.

Abang Johari berkata, selain sektor pelancongan, kawasan berbukit di Baram mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai hab pertanian moden dengan sokongan penyelidikan saintifik bagi menghasilkan komoditi bernilai tinggi untuk dieksport.

Beliau menegaskan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan kerajaan dibuat berdasarkan penelitian terhadap pulangan ekonomi agar manfaatnya dapat dinikmati rakyat secara berterusan.

“Apabila kita melancarkan sesuatu projek, mesti ada pengiraan mengenai pulangan pelaburan. Sebab itu kita memberi tumpuan kepada pembangunan yang mampu meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat,” katanya.