Pekerja binaan ‘temui emas’ di tapak pembinaan di Belgium

Facebook
WhatsApp
PENEMUAN emas ketika kerja pengubahsuaian sebuah bangunan di bandar Dendermonde, Flanders Timur. Foto Agensi

BRUSSELS, Belgium: Polis Belgium menggesa pemburu harta karun supaya menjauhi sebuah tapak pembinaan selepas pekerja binaan menemui timbunan emas yang dilaporkan bernilai lebih RM43 juta (kira-kira €9 juta) minggu ini.

Penemuan mengejutkan itu berlaku pada Selasa ketika kerja pengubahsuaian sebuah bangunan di bandar Dendermonde, Flanders Timur.

Polis berkata pekerja memaklumkan penemuan “sejumlah besar emas” kepada mereka, selain menerbitkan gambar kira-kira 50 jongkong emas dan timbunan syiling emas di laman Facebook mereka.

Media Belgium melaporkan jongkong dan syiling berkenaan, yang dianggarkan bernilai RM42.5 juta (kira-kira €9 juta), ditemui tertanam di dalam dinding ruang bawah tanah sebuah rumah milik badan kebajikan tempatan, CAW East-Flanders.

Seorang pekerja yang ditemu bual oleh penyiar Belgium, VRT, berkata reaksi pertama pasukan berkenaan ialah “tidak percaya dan terkejut”.

“Kami menemuinya ketika menjalankan kerja tanah untuk memasang paip sistem pembetungan,” kata lelaki yang hanya dikenali sebagai Kobe itu.

“Kami sama sekali tidak menyangka akan menemukan emas.”

Polis berkata emas berkenaan “secepat mungkin direkodkan dan disimpan dengan selamat di dalam peti besi berkawalan keselamatan tinggi milik perkhidmatan kerajaan persekutuan”.

“Nampaknya, beberapa pemburu harta karun mahu datang semula ke tapak berkenaan,” menurut hantaran Facebook jabatan polis itu, yang turut menukar gambar profilnya kepada syiling emas susulan penemuan tersebut.

“Nasihat kami yang paling bernilai: sememangnya tiada gunanya,” kata polis sambil mengingatkan orang ramai supaya menjauhi tapak pembinaan yang telah dipagar itu.

Belum jelas siapa yang dianggap sebagai pemilik sah harta berkenaan dan sama ada sesiapa akan dibenarkan menyimpannya.

“Mudah-mudahan harta karun ini akhirnya berada di tangan yang betul,” kata polis dalam hantaran berkenaan. – AFP